SHAH ALAM – Bekas isteri Menteri Besar Perlis, Sova Ali memfailkan dua tuntutan berjumlah RM15.34 juta terhadap bekas suaminya itu Datuk Seri Azlan Man, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.
Menerusi kenyataan yang diperoleh pihak media, dua tuntutan itu masing-masing ialah mutaah yang berjumlah RM15 juta dan nafkah tertunggak sebanyak RM344,250.
Menurut kenyataan itu, Sova, 40, yang juga warganegara Indonesia membuat tuntutan mutaah RM15juta kerana mendakwa dia telah diceraikan tanpa sebab oleh Azlan, 63, dan tanpa kebenaran mahkamah.
Sementara bagi tuntutan nafkah tertunggak berjumlah RM 344,250 Sova mendakwa, dia tidak diberikan nafkah semasa dalam perkahwinan untuk tempoh tertentu.
Kenyataan itu turut menyebut, Sova juga akan memfailkan dua lagi tuntutan terhadap Azlan berhubung harta sepencarian membabitkan pelbagai aset yang dimiliki dalam tempuh perkahwinan mereka di Selangor, Perlis dan tempat lain termasuk di luar Malaysia.
Sementara itu peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Sova ketika dihubungi mengesahkan dokumen tersebut dan mengatakan
pihaknya mendapat kebenaran supaya penyata tuntutan diserahkan di luar negeri Selangor iaitu di Perlis.
Kebenaran tersebut diberikan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Syariah, Rashidah Sapingi @ Shafie.
Kes tuntutan mutaah dan nafkah tertunggak itu ditetapkan untuk majlis sulh di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 15 Disember ini.
Pada 25 Ogos lalu, Kosmo! Online melaporkan Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat mengesahkan lafaz cerai yang dibuat Azlan terhadap Sova pada April lalu.
Hakim Syarie Abdullah Zuhdee Ab. Halim mengesahkan pasangan itu bercerai dengan talak satu pada prosiding yang dijalankan secara tertutup.
Pengesahan lafaz cerai itu dibuat berdasarkan Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 21 Mac 2010 dan perkahwinan didaftarkan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPS).
Azlan kemudian melafazkan cerai terhadap Sova pada 23 April 2022 di Jakarta, Indonesia. Sepanjang perkahwinan selama 12 tahun itu pasangan tersebut tidak dikurniakan cahaya mata. – KOSMO! ONLINE