fbpx

PRU15: 269 pegawai, anggota polis kawal proses penamaan calon Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seramai 269 orang pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dikerahkan untuk mengawal proses penamaan calon bagi Parlimen Putrajaya (P125), esok.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pegawai dan anggota akan ditempatkan di sekitar Pusat Penamaan Calon (PPC) di Kompleks Kejiranan Presint 9, di sini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menutup beberapa laluan ke kompleks kejiranan berkenaan bemula pukul 8 pagi sehingga proses penamaan calon selesai.

“Antara laluan termasuk Jalan Presint 9C bermula lampu isyarat Petronas 9D sehingga lampu isyarat Jalan P9C/1 (Fasa 8), Jalan Presint P9A bermula dari Petronas P9A hingga Jalan Presint P9C dan Jalan Presint 9F bermula SKPP9(1)/ Klinik Kesihatan P9 hingga Jalan Presint P9C.

“Pengguna jalan raya yang terjejas terutama penghuni Fasa 10 dan Fasa 11 Presint 9, dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif ke destinasi masing-masing dan patuh kepada arahan polis yang bertugas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, semua calon yang bertanding juga diminta mematuhi segala undang-undang serta akur akan peraturan dan tidak melakukan kesalahan-kesalahan yang boleh mengganggu-gugat kelancaran proses pada hari Penamaan Calon.

A. Asmadi menegaskan, calon dan wakil calon dikehendaki mengawal emosi penyokong untuk tidak menimbulkan sebarang provokasi terhadap penyokong parti lain selain tidak dibenarkan mengadakan perarakkan atau konvoi kenderaan untuk mempamerkan kehebatan parti.

“Penyokong yang mengiring calon juga dilarang sama sekali menunggu atau berada di dalam zon 50 meter dari sempadan PPC yang ditetapkan.

“Penggunaan alat pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk penggunaan suara dari kenderaan juga adalah tidak dibenarkan sama sekali semasa berada di PPC,” katanya.

Tambah beliau, penyokong turut dinasihatkan supaya mengamalkan konsep berkempen secara sihat dan penuh kematangan demi menjaga keharmonian penduduk Putrajaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI