fbpx

Glasier, sumber air penting untuk manusia semakin hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR menunjukkan Glacier Point di Taman Negara Yosemite, Amerika Syarikat. - Juan Arreguin/Wikimedia Creative Commons

WASHINGTON – Glasier dunia menghilang pada kadar pantas dengan beberapa glasier ikonik seperti yang terdapat di Taman Negara Yellowstone dan Yosemite di Amerika Syarikat (AS) diramal lenyap menjelang 2050, lapor laman berita United Press International (UPI) kelmarin.

Laporan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menyatakan, pengurangan signifikan pelepasan gas karbon dioksida (CO2) boleh menyelamatkan kebanyakan glasier di dunia jika pemanasan global tidak melebihi suhu 1.5 darjah Celsius menjelang 2050.

“Laporan ini adalah seruan untuk bertindak. Hanya pengurangan pesat pelepasan CO2 dapat menyelamatkan glasier dan biodiversiti yang bergantung kepadanya.

“Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2022 (COP27) mempunyai peranan penting untuk mencari penyelesaian isu ini. UNESCO berazam menyokong negara-negara dunia dalam mencapai matlamat tersebut,” kata Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay dalam satu kenyataan.

Laporan UNESCO dengan kerjasama Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) menyimpulkan, satu pertiga daripada glasier di 50 Tapak Warisan Dunia ‘diramal lenyap menjelang 2050, tanpa mengira usaha untuk mengehadkan peningkatan suhu’.

Glasier mencair pada kadar yang lebih pantas sejak tahun 2000 disebabkan pelepasan CO2 yang menyaksikan 58 billion tan ais cair pada setiap tahun, tambah laporan sama. Kehilangan itu bersamaan gabungan penggunaan air secara tahunan oleh Perancis dan Sepanyol.

UNESCO berkata, separuh daripada umat manusia bergantung secara langsung atau tidak langsung kepada glasier sebagai sumber air untuk pertanian, tenaga dan kegunaan domestik. Ia juga penting untuk pelbagai ekosistem.

“Apabila glasier mencair dengan pantas, berjuta-juta orang akan menghadapi kekurangan air dan peningkatan risiko bencana alam seperti banjir. Berjuta-juta lagi mungkin dipindahkan kerana paras laut meningkat.

“Kajian ini menyerlahkan keperluan mendesak untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan melabur untuk penyelesaian berasaskan alam semula jadi. Ia bertujuan mengurangkan impak perubahan iklim dan membolehkan orang ramai menyesuaikan diri dengan lebih baik,” kata Ketua Pengarah IUCN, Dr. Bruno Oberle dalam satu kenyataan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI