LEEDS – Pengurus Leeds United, Jesse Marsch kini berdepan tugas penting untuk mengekalkan konsistensi pasukan dalam pertemuan dengan Bournemouth di Elland Road, malam ini.
Pengendali dari Amerika Syarikat itu merasakan pasukannya belum mencapai tahap yang diinginkan dan kini perlu pamerkan kemahuan sama seperti menewaskan Liverpool 2-1 Sabtu lalu.
“Saya berada di tempat sama dan kemenangan lalu menjadi sesuatu yang bagus. Namun, kami dihimpit kekecewaan kerana aksi seperti itu hanya berlaku dalam perlawanan tertentu dan ada ketikanya kami turut kehilangan mata.
“Sukar untuk difahami kerana saya masih memikirkan tentang fakta dan kami patut berada di kedudukan lebih baik.
“Ia menjadi sesuatu yang menggembirakan apabila kami dapat keputusan seperti menentang Liverpool, tetapi kami gagal melakukannya dengan lebih baik. Fokus sekarang adalah bina momentum dan dapatkan kemenangan bermakna ke atas Bournemouth,” katanya.
Ketika ini, Leeds sekadar menghuni tangga ke 15 Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 12 mata, hasil tiga kemenangan dan tiga seri.
Marsch juga mahu anak buahnya segera keluar daripada zon selesa dan tiada pilihan lain kecuali perlu kekalkan kemenangan bagi memperbaiki kedudukkan dalam carta EPL ketika ini.
“Tumpuan saya selepas pertemuan dengan Liverpool pastinya menjurus kepada perlawanan menentang Bournemouth. Saya sudah terlalu letih dengan kekalahan yang kami alami sebelum ini dan kami perlu segera cari jalan keluar,” jelasnya. – AGENSI