LONDON – Pengendali Newcastle, Eddie Howe berjaya memanfaatkan tempoh 12 bulan dengan sempurna apabila melakukan transformasi luar biasa dalam sejarah Newcastle United.
Hanya tewas sekali musim ini membuktikan bahawa The Magpies memiliki barisan pemain terbaik sehingga muncul pasukan paling sedikit bolos dengan hanya 10 gol dilepaskan sepanjang 13 perlawanan.
Newcastle juga turut mendapat suntikan tambahan apabila bintang pertahanannya, Kieran Trippier tampil menyerlahkan kemahuan pasukan dan akui begitu dahagakan kejayaan bersama The Magpies.
Trippier juga yakin dengan rekod baik Howe sepanjang 12 bulan mengendalikan pasukan mampu menempatkan mereka di kedudukan terbaik.
Malah, dia juga langsung tidak meminta sebarang klausa khas ketika mula-mula menandatangani kontrak dengan Newcastle daripada Atletico Madrid kerana meletakkan kepercayaan penuh terhadap Howe.
“Beliau (Howe) juga yang menjadi sebab kepada keputusan saya untuk menandatangani kontrak bersama pasukan ini. Kami bercakap panjang lebar tentang proses yang dia mahu lakukan terhadap pasukan.
“Saya juga tidak menandatangani sebarang klausa jika kami tersingkir. Saya percayakan apa yang pengurus dan pemilik kelab katakan,” kata Trippier.
Selasa ini, Howe bakal melengkapkan tempoh setahun khidmatnya di St. James Park sejak mula dilantik tahun lalu bagi menggantikan Steve Bruce yang dipecat.
Ketika ini juga, Trippier menjadi antara watak penting kepada perjalanan luar biasa Newcastle sepanjang 2022 dan kini berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat teratas untuk mengekori tiga lagi kelab besar, Arsenal, Manchester City dan Tottenham Hotspurs. – AGENSI