PETALING JAYA – Sebanyak 4,326 borang pencalonan bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah dijual setakat hari ini di seluruh negara.
Menurut statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daripada jumlah tersebut, 3,036 adalah borang penamaan calon bagi Parlimen manakala 1,290 lagi bagi DUN.
Di peringkat Parlimen, Sabah mencatatkan penjualan borang tertinggi iaitu 716, diikuti Perak (326), Selangor (266), Kelantan (262), Johor (253), Pulau Pinang (219), Kuala Lumpur dan Putrajaya (163), Kedah (150), Pahang (144), Terengganu (118), Sarawak (100) dan Melaka (73).
Walaupun Perlis hanya mempunyai tiga kawasan Parlimen, namun mencatatkan jualan 52 borang pencalonan Parlimen, jauh lebih tinggi berbanding Negeri Sembilan hanya 24 borang terjual setakat ini.
Sementara di ibu pejabat SPR Putrajaya, turut mencatatkan jualan borang calon Parlimen sebanyak 170.
Manakala di peringkat DUN, jualan borang terbanyak adalah di Perak iaitu sebanyak 654, Pahang (422) dan Perlis 153 manakala jualan borang calon DUN di ibu pejabat SPR pula adalah sebanyak 61. – KOSMO! ONLINE.