PETALING JAYA – Bintang filem dari India, Shah Rukh Khan yang menyambut hari kelahirannya yang ke-57 Rabu lalu dilihat ibarat raja apabila dikerumuni peminatnya.
Difahamkan para peminat pelakon Bollywood itu akan menjadikan tarikh 2 November setiap tahun seperti perayaan besar bagi menyatakan kecintaan mereka terhadap Shah Rukh Khan.
Seperti tahun- tahun sebelumnya, pelakon tersebut akan menyapa peminatnya saban tahun melalui tingkat tiga rumahnya yang terletak di Mumbai, India.
Menurut satu portal tempatan India, para peminat pelakon ini kebiasaannya datang awal pagi di perkarangan rumah agam Shah Rukh Khan iaitu sekitar pukul 2 pagi.
Ada juga peminat yang tinggal di negeri-negeri lain turut datang untuk menyambut hero pujaan ramai itu dan ada juga yang sanggup tidur beberapa hari di sekitar jalan masuk rumah Shah Rukh Khan.
“Peminat pelakon ini begitu fanatik dan teruja untuk menyambut hari kelahiran ‘hero India’ ini.
“Ada yang datang dari daerah lain dengan perjalanan jauh beratus kilometer semata-mata untuk melihat Shah Rukh Khan di hadapan mata,” jelas portal Scroll.in. – KOSMO! ONLINE.