KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 7 Disember bagi keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan membatalkan saman yang difailkan keluarga model Belanda Ivana Esther Robert Smit atas dakwaan gagal melaksanakan tanggungjawab serta cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematiannya.
Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak hari ini.
Terdahulu semasa prosiding, Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Mohd. Azhar Hamzah berhujah menyatakan pihak polis masih menjalankan siasatan ke atas suspek selepas Mahkamah Tinggi mengarahkan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (kesalahan bunuh).
Mohd. Azhar berkata, di peringkat rayuan, Mahkamah Tinggi meminda keputusan Koroner dan mengarahkan kes disiasat di bawah kes bunuh.
“Pada peringkat awal tiada langsung kecuaian dalam kes ini, oleh itu untuk menyatakan ada pelanggaran di peringkat awal, ia bukan satu kausa tindakan yang betul.
“Jadi untuk menyatakan bahawa pihak polis melakukan pelanggaran tugas dan cuai dalam siasatan mereka ketika menyiasat kes itu di peringkat awal adalah tidak munasabah,” kata Mohd. Azhar.
Sementara peguam keluarga mendiang Ivana Smith, Datuk Sankara Nair dalam hujahannya berkata, membantah permohonan kerajaan dan PDRM untuk membatalkan saman merupakan pemikiran semula (afterthought) berikutan pengembalian semula saman itu melalui keputusan Mahkamah Rayuan tahun ini.
Dalam saman itu ibu Ivana Smith, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen menamakan Ketua Polis Negara, Asisten Superitendan Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan pertama hingga keempat.
Saman itu berhubung keempat-empat defendan didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab serta cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian Ivana yang ditemui dalam keadaan bogel di balkoni tingkat 6 sebuah kondominium di Persiaran Capsquare di sini lima tahun lalu.
Pada 7 Februari lalu, saman yang difailkan Christina Carolina, 58, terhadap keempat-empat defendan yang didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab serta cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya, akan diteruskan perbicaraan sepenuhnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Yaacob Md Sam dalam keputusan sebulat suara itu membenarkan rayuan Christina Carolina berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan samannya.
Sebelum itu pada November 2019 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan keluarga model, Ivana Esther Robert Smit, bagi membatalkan keputusan Mahkamah Koroner yang mengklasifikasikan kematiannya disebabkan oleh nahas.
Dalam penyataan tuntutan yang difailkan pada 20 November 2020, plaintif mendakwa anak perempuannya yang berusia 18 tahun itu ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence di sini pada 7 Disember 2017 selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Sebelum ini, Mahkamah Koroner mendapati tidak wujud sebarang perbuatan jenayah, malah tiada individu yang terbabit dalam kes itu. – KOSMO! ONLINE