PETALING JAYA – Kisah seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai penghantar makanan sambil mengendong anaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) buta menerusi perkongsian Kosmo! Online di Instagram pagi tadi, turut meraih perhatian artis terkenal tanah air.
Menerusi tinjauan Kosmo! di ruangan komen, pelakon cantik, Datin Paduka Eina Azman atau nama sebenarnya, Ainur Syakina Azman, 27, juga tidak ketinggalan.
Eina yang sememangnya terkenal dengan sikap peramah dan tidak lokek membantu golongan tidak berkemampuan dipercayai ingin membantu ibu tunggal tersebut.
“Salam, sesiapa ada details contact ibu ini, minta tolong share dengan saya. Thanks in advance,” ujarnya.
Terdahulu, kisah Azimah Abd. Rahim, 37, kembali mendapat perhatian selepas gambarnya menaiki motosikal bersama anaknya Nurainul Zahirah Rashidi, 6 dimuat naik Kosmo! Online, hari ini.
Sebelum ini, Eina pernah menerima pujian ramai apabila beberapa video dirinya melayan seorang kanak-kanak bernama Alya yang menghidapi penyakit kulit kronik tular dalam TikTok.
Difahamkan, isteri kepada usahawan, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden itu menaja sepenuhnya rawatan berjumpa pakar kulit demi mengurangkan bebanan dihadapi kanak-kanak itu tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Selain Eina, pelakon popular, Rozita Che Wan atau Che Ta juga dilihat tampil memberi sokongan moral.
“Kosmo_online semoga Allah permudahkan segala urusan akak dan sentiasa dalam lindungan Allah, Allah kurniakan rezeki yang banyak dan tak putus-putus. Amin,” katanya.
Kosmo! Online sebentar tadi, turut berkongsi kisah Pendakwah bebas, Ebit Lew yang menghadiahkan sebuah kereta buat Azimah. – KOSMO! ONLINE