JOHOR BAHRU – Seorang pemancing terkedu menemui satu mayat lelaki yang terapung di sungai di bawah jambatan Bakar Batu di sini petang hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I, Suhaimi Abdul Jamal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 6.07 petang sebelum 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati mayat lelaki yang tidak diketahui identiti terapung di sungai.
“Mayat mangsa dialihkan ke tebing dan diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mayat lelaki yang tidak dikenali itu ditemui pemancing kira-kira pukul 5.30 petang di bawah jambatan Permas Jaya dari arah bandar menghala ke Pasir Gudang, Johor.
Katanya, mangsa tersebut dipercayai lemas sebelum ditemui oleh orang awam di kawasan tersebut.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya.-KOSMO! ONLINE