KESABARAN selama empat tahun ternyata berbaloi buat atlet powerlifting Kelantan, Ahmad Shahmim Mohd. Kadri apabila berjaya melebur rekod kebangsaan dalam kategori atas 49 kilogram (kg) pada temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 semalam.
Atlet yang bakal menyambut hari kelahiran ke-20 tahun pada 29 Disember ini melakukan angkatan seberat 104 kilogram (kg) sekali gus memecah rekod kebangsaan dan juga rekod Sukma milik atlet Kuala Lumpur, Syed Omar Syed Hashim yang dicatat pada Sukma Perak (2018).
Anak sulung daripada tujuh beradik itu mengakui segala penat lelahnya berbaloi apabila usahanya menjalani latihan tanpa henti termasuk mengharungi cabaran Covid-19 membawa hasil kejayaan pingat emas di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kebangsaan di Kampung Pandan.
“Jika diikutkan, dalam latihan saya hanya mampu angkat 100 kg sahaja dan itupun sangat berat bagi saya. Saya tak pernah angkat sehingga 104 kg dan saya juga terkejut mampu lakukan angkatan seperti ini.
“Apapun, kejayaan ini hari ini (semalam) adalah dorongan jurulatih dan doa kedua-dua ibu bapa saya. Saya terharu dan sedih kerana banyak-banyak kejohanan saya tak pernah sumbang pingat emas. Kali ini pada tahun 2022 saya berjaya menuai pingat emas buat Kelantan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Hasil kejayaan tersebut, Ahmad Shahmim bertekad untuk mewakili negara menjelang temasya Sukan Para ASEAN di Kemboja tahun depan.
“Lepas kemenangan ini saya akan menjalani latihan seperti biasa kerana saya mahu mewakili negara pada temasya Sukan Para ASEAN di Kemboja. Jika terpilih ke Kemboja, ia adalah penampilan pertama saya di sana,” ujarnya.
Atlet Sabah, Francis Xavier Kinjin dan Noor Asri Md. Saad (Kedah) masing-masing berkongsi pingat perak selepas melakukan angkatan 65 kg.