fbpx

WHO gesa jiran Uganda siap sedia hadapi wabak Ebola

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DOKTOR membersihkan diri mereka di luar wad isolasi di Mubende, Uganda pada 27 Oktober lalu. - AFP

KAMPALA, Uganda – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kelmarin bahawa ketibaan Ebola di ibu kota Uganda, Kampala, membayangkan risiko penularan lebih meluas virus maut tersebut.

Justeru, WHO meminta negara-negara jiran Uganda supaya meningkatkan persediaan masing-masing

Sejak Kementerian Kesihatan Uganda pertama kali mengisytiharkan wabak Ebola pada 20 September lalu, negara itu merekodkan lebih 150 kes disahkan dan disyaki, termasuk 64 kematian, kata WHO.

Manakala sejak penyakit maut itu merebak ke Kampala minggu lalu, sebanyak 17 kes telah disahkan di sana.

“Walaupun kes-kes ini dikaitkan dengan kluster yang sudah diketahui, fakta bahawa terdapat kes yang berlaku di kawasan padat penduduk membayangkan risiko penularan seterusnya.

“Terdapat keperluan mendesak untuk persediaan dilakukan di daerah dan negara sekitarnya,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Ebola merebak melalui cecair badan dengan simptom biasa termasuk demam, muntah, pendarahan dan cirit-birit.

Wabak Ebola sukar dibendung terutamanya di persekitaran bandar.

WHO mengeluarkan wang tambahan AS$5.7 juta (RM27 juta) daripada dana kecemasannya di samping peruntukan sebelum ini berjumlah AS$5 juta (RM23.7 juta) untuk menangani krisis di Uganda.

Agensi kesihatan antarabangsa itu bekerja sama rapat dengan kerajaan Uganda dan rakan kongsinya bagi menangani wabak Ebola. Bagi tujuan tersebut, WHO menggesa ke arah tindak balas global dan peningkatan pelaburan oleh para penderma.

Kali terakhir Uganda merekodkan kematian daripada wabak Ebola adalah dalam tahun 2019. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI