fbpx

Mindef tumpu ringankan kos sara hidup warga pertahanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishammuddin pada sidang akhbar Mindef dan Pernama hari ini.

PETALING JAYA – Kementerian Pertahanan (Mindef) melalui Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) melaksanakan inisiatif penurunan harga kira-kira 200 produk jualan bagi meringankan beban perbelanjaan seharian warga pertahanan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, penurunan harga yang ditawarkan adalah sehingga 48 peratus untuk barangan keperluan asas manakala sehingga 90 peratus bagi keperluan sekolah.

Katanya, usaha tersebut meliputi kesemua 93 kedai Pernama di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurut Hishammuddin, pendekatan itu dibuat selepas hasil tinjauannya ketika dalam lawatan ke Sabah dan Sarawak bulan lalu apabila melihat sebahagian harga produk di kedai berkenaan tidak jauh beza berbanding di luar.

“Antara harga barangan asas yang diturunkan adalah susu formula bayi pada RM21.49, tuala wanita (RM3.09), sardin (RM6.99), tepung (RM2.49) dan beras 10 kilogram iaitu RM25.00.

“Bagi keperluan sekolah pula, warga pertahanan boleh mendapatkan pakaian seragam sekolah dengan hanya RM5 untuk sehelai baju dan RM5 untuk seluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, inisiatif yang akan dilaksanakan sebagai jualan akhir tahun itu berkuat kuasa serta-merta bermula semalam sehingga 31 Disember tahun ini.

“Saya juga telah mengingatkan Pernama supaya memastikan barang-barang yang diturunkan harga mempunyai stok mencukupi supaya penjimatan ini benar-benar dapat dirasai oleh warga pertahanan.

“Ini kerana tujuan utama mereka berurus niaga dengan warga pertahanan adalah untuk membela kebajikan, bukannya mengaut keuntungan semata-mata,” ujarnya. – KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI