BANGKOK – Seorang wanita kelainan upaya (OKU) dari Australia sanggup merangkak ketika keluar dari tempat duduk pesawat yang mendarat di sebuah lapangan terbang di Bangkok sebagai tanda protes selepas dia diminta membayar untuk kerusi roda, lapor laman berita Thaiger semalam.
Wanita tersebut, Natalie Curtis mendakwa, pramugari syarikat penerbangan tambang murah, Jetstar memberitahunya bahawa dia perlu membayar sekiranya mahu menggunakan kerusi roda.
Curtis berkata, dia ditawarkan sebuah kerusi roda khas yang boleh muat untuk melalui lorong di dalam pesawat bagi penerbangannya dari Singapura ke Bangkok. Namun, sejurus tiba di Bangkok, dia diminta membayar perkhidmatan untuk menggunakan kerusi roda itu.
Wanita itu bagaimanapun enggan membayar kerana menurutnya, dia tidak pernah diminta membayar perkhidmatan tersebut sebelum ini.
Dalam masa sama, rakannya juga tidak dapat membantu untuk mengangkatnya disebabkan mengalami kecederaan pada lutut, justeru, Curtis terpaksa merangkak keluar dari tempat duduk di tepi lorong.
Menerusi satu hantaran yang tular dalam kumpulan perbincangan di Facebook, Curtis berkata, dia tidak pernah berasa terhina seperti itu sebelum ini.
Jetstar kemudian meminta maaf atas insiden itu dan membuat bayaran balik secara penuh bagi tambang penerbangan Curtis.
Syarikat penerbangan tersebut berkata, kejadian itu berlaku disebabkan salah faham.
Kakitangan pesawat itu dikatakan sebenarnya memberitahu Curtis bahawa kerusi roda untuknya tidak tersedia untuk sekurang-kurangnya 40 minit selepas pesawat tiba di Bangkok.
Ia turut menafikan mengenakan bayaran untuk perkhidmatan kerusi roda. – Agensi