fbpx

Semenanjung Korea semakin bergolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR bertarikh 25 April lalu menunjukkan ICBM Hwasong-17 menyertai perarakan di Dataran Kim II Sung, Pyongyang. - AFP

SEOUL – Korea Utara membedil sebuah peluru berpandu balistik jarak jauh dan dua misil balistik jarak dekat semalam, kata Seoul,  dengan siren amaran dibunyikan di sebuah pulau di Korea Selatan serta beberapa kawasan utara Jepun supaya penduduk segera berlindung.

Tentera Korea Selatan berkata, pihaknya  mengesan sebuah peluru berpandu balistik jarak jauh yang dipercayai dilancarkan ke Laut Timur (Laut Jepun), sekitar pukul 7.40 pagi (waktu tempatan) dari  kawasan Sunan di Pyongyang.

Tidak lama kemudian, tentera Korea Selatan mengesan dua misil balistik jarak dekat yang dilancarkan kira-kira pukul 8.39 pagi dari Kaechon, wilayah Pyongyang Selatan.

“Tentera Korea Selatan kekal siap siaga sepenuhnya dan bekerjasama rapat dengan Amerika Syarikat (AS) serta mengukuhkan pemantauan,” katanya.

Pelancaran itu berlaku sehari selepas Pyongyang membedil lebih 20 peluru berpandu, termasuk sebuah misil yang jatuh berhampiran perairan Korea Selatan.

Pelancaran berbilang peluru berpandu itu dibuat ketika Seoul dan Washington mengadakan latihan udara bersama terbesar, melibatkan beratus-ratus pesawat perang milik kedua-dua belah pihak.  

Menurut media tempatan, siren serangan udara dibunyikan di Pulau Ulleungdo, timur Korea Selatan dengan penduduk diberi amaran supaya mencari perlindungan kelmarin selepas sebuah misil jarak dekat Pyongyang melintasi sempadan maritim kedua-dua negara.

Jepun turut mengesahkan pelancaran misil Pyongyang semalam dengan Tokyo mengeluarkan amaran sejurus  sebelum pukul 8 pagi (waktu tempatan) kepada penduduk di rantau utara agar  berada di rumah atau mencari tempat berlindung.

Berikutan bedilan misil itu disusuli amaran berpindah, ia membayangkan pelancaran peluru berpandu balistik jarak sederhana (IRBM) atau peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) pada jarak maksimum,” kata pakar NK  News, Chad O’Carroll.

Washington dan Seoul berulang kali memberi amaran bahawa pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara sejak kebelakangan  ini akan berakhir dengan satu lagi ujian nuklear, iaitu yang ketujuh oleh Pyongyang.

“Siri pelancaran  ini menandakan kemungkinan senjata nuklear akan diuji selepas ini. Mungkin dalam masa terdekat,”  kata O’Carroll.

Pada 4 Oktober lalu, Korea Utara melancarkan  peluru berpandu melintasi wilayah Jepun yang mencetuskan amaran berpindah. Pyongyang kemudian mendakwa bahawa ia adalah peluru berpandu jarak sederhana darat ke darat jenis baharu. 

Itu adalah kali pertama Korea Utara membedil peluru berpandu melintasi Jepun sejak 2017.

Pyongyang menganggap latihan udara AS-Korea Selatan yang sedang berlangsung sebagai agresif, provokasi  serta menyasarkan Korea Utara. Pyongyang memberi amaran bahawa Seoul dan Washington akan ‘menanggung kesan paling mengerikan dalam sejarah’ sekiranya latihan tentera Vigilant Storm itu diteruskan.

Sementara itu, Korea Selatan menutup beberapa laluan udara di Laut Timur dan  menasihatkan syarikat-syarikat  penerbangan tempatan melakukan lencongan bagi memastikan keselamatan penumpang di laluan menuju ke AS  dan Jepun. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI