BALIK PULAU – Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang nekad memberi tentangan sengit di kesemua 13 kerusi Parlimen negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan menaruh harapan serta komitmen terhadap calon yang bakal bertanding nanti.
Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pihaknya akan menentang habis-habisan pada PRU ini dan yakin dapat mempertahankan dua kerusi Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor yang dimenangi pada PRU14 lalu.
Menurutnya, pihaknya juga tidak sesekali akan menyerah kalah meskipun pelbagai tomahan yang dilemparkan kepada parti berkenaan.
“Ini ikrar saya. BN Pulau Pinang tidak akan menyerah kalah, akan lawan dan tentang habis-habisan. Tunggu pada 19 November ini.
“Calon-calon ini (yang bertanding), walaupun ada yang kalah pada PRU14, tetapi mereka inilah orang yang bekerja keras, turun padang.
“Hari ini, rakyat boleh menilai, siapa yang boleh bekerja dan ada bersama rakyat. Saya percaya, calon yang bertanding memang akan membantu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Calon BN, di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kesemua jentera BN Pulau Pinang juga menerima keputusan yang dibuat pucuk pimpinan berhubung 13 calon yang akan bertanding pada PRU15 ini. – KOSMO! ONLINE