KOTA BHARU- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menempatkan lima anggota Pasukan Gerak Cepat Monsun Timur Laut Red Team di lokasi berisiko banjir bagi membantu tugasan menyelamat.
Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, anggota pasukan khas itu mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing termasuk tugasan Penyelamatan Di Air (PPDA) dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat).
Katanya, pasukan tersebut menjalankan tugas berdasarkan kemahiran masing-masing bagi membantu JBPM Kelantan menepati tempoh masa bertindak dalam pengurusan ketika banjir.
“Anggota pasukan ini yang didatangkan khas dari Ibu Pejabat JBPM Putrajaya dan negeri lain.
“Dengan penempatan pasukan ini, kita berharap tugasan menyelamat lebih lancar,”katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simulasi Table Top dan Disaster Management Exercise di Lembah Sireh di sini hari ini.
Dalam program itu, seramai 130 pegawai dan anggota menyertai simulasi latihan yang melibatkan penggunaan bot selain jentera bomba.
Dalam perkembangan sama, menurut Zainal, pihaknya juga turut memberi tumpuan di kawasan banjir sekiranya berlaku kebakaran.
Katanya, simulasi latihan dan menyelamat telah ditambah baik bagi meningkatkan kemahiran anggota ketika menghadapi kebakaran pada musim banjir. – KOSMO! ONLINE.