Menabur janji sudah menjadi kelaziman dalam kalangan calon-calon pilihan raya setiap kali mereka berkempen.
Tidak kira calon luar bandar mahupun bandar, pastinya janji-janji yang dinyatakan bermatlamat untuk menarik undi orang ramai ke atas mereka.
Bagi sebilangan calon, janji ditaburkan sudah cukup bagi mereka untuk memenangi kawasan yang ditandingi kerana ada sahaja dalam kalangan pengundi mempercayai setiap butiran pertuturan calon berkenaan.
Ada yang langsung tidak berfikir sama ada janji itu realistik ataupun tidak kerana bagi mereka, asalkan calon pilihan yang menabur janji itu menang.
Bagaimanapun, sudah tentu ada dalam kalangan pengundi yang sudah celik dan sedar bahawa janji hanyalah sekadar janji. Apatah lagi apabila suatu parti tersebut menjadi kerajaan, ia tidak ditunaikan.
Bahkan, himpunan janji dalam bentuk manifesto pada masa ini sudah jatuh martabatnya apabila Perdana Menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu bukannya kitab suci.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, rakyat ketika ini tidak mahu mendengar janji-janji yang tidak berupaya ditunaikan oleh mana-mana pihak seperti penghapusan tol di lebuh raya.
Sebaliknya, ujar beliau, rakyat mahu tahu mengenai rancangan calon ataupun kerajaan seterusnya untuk mengatasi masalah lebih serius dihadapi ketika ini seperti kos sara hidup, inflasi ataupun mengenai bidang pendidikan.
“Calon-calon ini tidak sepatutnya menabur janji secara berlebihan semata-mata untuk menarik undi. Apa yang dikatakan haruslah bersifat realistik dan mampu ditunaikan.
“Jika tidak, ia akan menjejaskan kredibiliti mereka sebagai wakil rakyat. Bak kata pepatah Melayu, kerbau dipegang orang talinya, jika manusia dipegang mulutnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada masa sama, Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed memberitahu, rakyat tidak berminat melihat pertelagahan antara parti yang bertanding pada pilihan raya.
Beliau berkata, perkara lebih mustahak bagi mereka adalah kerajaan yang ditubuhkan selepas hari pengundian itu kelak adalah stabil dan mampu menyelesaikan isu membelenggu rakyat.
“Rakyat mahukan pemimpin-pemimpin politik ini memberikan satu jalan penyelesaian sekali gus menjamin kestabilan negara serta pembangunan ekonomi lebih mampan.
“Banyak isu yang perlu diselesaikan antaranya berkenaan kos sara hidup serta pengangguran dalam kalangan rakyat. Pengundi mahu lihat isu-isu diselesaikan, bukan lihat pertelagahan antara parti,” katanya.