PETALING JAYA – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia telah membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.
Ini adalah kenaikan kali keempat berturut-turut pada tahun ini yang mana pada bulan September, kadar penanda aras pinjaman dan simpanan itu naikkan kepada 2.50, pada bulan Julai dinaikkan kepada 2.25 peratus, 2.00 pada bulan Mei dan pada bulan Mac ia berada pada paras terendah iaitu 1.75 peratus.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan bank pusat semalam, pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
“MPC tidak membuat sebarang ketetapan awal dan akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah serta kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
“Sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan terus dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi
memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.