KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara Yasmin Hani mengakui lebih gemar mengemas rumah berbanding memasak seperti kebiasaan yang sering dilakukan kaum wanita.
Yasmin, 43, berkata, dia sanggup berlapar berbanding melihat keadaan rumah yang tidak kemas dan kotor.
“Saya bukan tak pandai tapi sekadar asas memasak saya tahu. Saya lebih suka mengemas rumah dan rasa macam boleh buka bisnes mencuci.
“Saya sanggup berlapar asalkan rumah bersih. Anak saya boleh makan apa sahaja yang ringkas. Roti pun boleh,” ujarnya.
Dalam pada itu, Yasmin atau nama lengkapnya Yasmin Hani Ismail Richardson menyedari perkara tersebut mungkin disebabkan cara dia dibesarkan oleh keluarga.
Katanya, tugas-tugas memasak dilakukan oleh ibu dan kakaknya, manakala dia diminta melakukan kerja mengemas rumah.
“Dulu kalau saya masuk dapur selalu kena marah. Dah ada tiga orang perempuan di dapur dan mereka suruh saya kemas rumah. Mungkin sebab itu saya tak suka masak,” ujarnya.
Bagaimanapun, Yasmin berharap pintu hatinya terbuka untuk minat memasak agar ada masakan yang akan dikenang oleh anak-anaknya jika dia sudah tiada.
“Saya berdoa agar Allah buka pintu hati supaya suka memasak. Saya nak juga anak-anak kenang sekurang-kurangnya satu makanan yang saya masak.
“Mereka tak akan kenang macam mana saya kemas katil atau susun stokin mereka,” ujarnya yang juga hos program Dapur Tempur.
Sementara itu, bercakap tentang Dapur Tempur, pengacara itu mengakui dia banyak belajar daripada program berkenaan tentang masakan.
“Alhamdulillah, saya banyak belajar dan kongsi pengalaman tentang masakan menerusi program ini.
“Kadang-kadang mereka banyak berborak tentang petai kikis atau cara nak masak pelbagai menu. Ada juga benda kecil-kecil yang saya kongsi dengan mereka.
“Seronoklah, rasa macam kami belajar sama-sama terutama ketika menunggu penggambaran dimulakan,” ujarnya.
Dapur Tempur bersiaran sebanyak lapan episod setiap Khamis, pukul 8.30 malam menerusi TV9.
Program realiti masakan tersebut menampilkan lapan pasangan keluarga sebagai peserta, manakala selebriti Sheila Rusly dan Chef Adu Amran menjadi juri tetap. – KOSMO! ONLINE