PETALING JAYA – PeIakon dan Aedan melakar sejarah industri seni apabila menjadi wajah tempatan pertama yang membintangi siri Netflix antarabangsa.
Idan atau nama sebenarnya Muhammad Shahidan Abdullah, 18, membawa watak utama sebagai Tyar dalam siri 13 episod berjudul Mr. Midnight: Beware The Monsters.
Siri berkenaan telah pun menjalani penggambaran di Batam, Indonesia dan Singapura pada pertengahan tahun lalu.
“Saya bersyukur diberikan peluang sebesar ini. Tidak pernah terbayang untuk saya sampai ke tahap ini. Saya baru berusia 17 ketika penggambaran dilakukan. Alhamdulillah sudah rezeki saya.
“Saya sedar, bukan mudah untuk pelakon tempatan diberikan peluang sebegitu. Rasa seperti mimpi pun ada. Tidak dinafikan, bekerja dengan produksi antarabangsa adalah antara impian saya.
“Dapat pula berlakon dalam drama genre kesukaan iaitu seram. Cuma, saya tidak menyangka rezeki saya datang terlalu cepat,” ujarnya.
Naskhah tersebut mendapat sentuhan tiga pengarah dan dibarisi pelakon hebat dari luar negara iaitu Tony Tilse, Sean Oliver dan Yee Wei Chai.
Dalam siri tersebut, Idan bergandingan dengan pelakon remaja popular dari Indonesia iaitu Adinia Wirasti dan Maxime Bouttier.
Bukan itu sahaja, Idan akui rasa bertuah dapat bekerjasama dengan pelakon Caleb Monk, Chen Yixin dan Nikki Dekker dari Australia.
“Pengalaman terlibat dalam siri ini merupakan satu kenangan manis yang tidak dapat saya lupakan.
“Dapat bekerja dengan mereka yang sudah dikenali di peringkat antarabangsa pada usia muda satu pencapaian luar biasa untuk diri saya sendiri.
“Selain pengarah dan gandingan pelakon yang bagus, cara mereka bekerja juga amat berbeza. Bukan sahaja saya belajar tentang lakonan, tetapi turut diberikan pendedahan tentang aspek teknikal,” ujarnya mengakui terdapat banyak perbezaan bekerja dengan produksi antarabangsa.
Biarpun tidak pernah mengambil kelas bahasa Inggeris, namun Idan mampu bertutur dengan baik apabila mendapat pendedahan menerusi program televisyen sejak kecil.
“Pada peringkat awal penggambaran saya berasa agak rasa kekok kerana pengarah dan semua kru berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
“Saya pula sudah terbiasa bertutur bahasa Melayu di set penggambaran sebelum ini, walaupun terkejut lama-kelamaan saya dapat menyesuaikan diri,” katanya.
Bercerita lanjut tentang keistimewaan watak Tyar dalam siri adaptasi novel popular dari Singapura itu, Idan berkata, wataknya mampu melihat dan berkomunikasi dengan makhluk halus kerana berketurunan dukun sebelah ibunya.
“Tyar yang berumur 17 tahun tidak tahu bagaimana hendak mengawal situasi tersebut.
“Pelbagai konflik timbul, tetapi jika hendak tahu bagaimana dia berhadapan dengan dunia ghaib, kenalah tonton,” ujar Idan. – KOSMO! ONLINE