fbpx

Meerqeen pertama kali jadi hero drama Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEERQEEN

PETALING JAYA – Impak populariti yang diraih menerusi drama bersiri fenomena Melur Untuk Firdaus, pelakon popular Meerqeen kini menuai hasil paling bermakna apabila buat pertama kalinya muncul sebagai hero menerusi sebuah naskhah terbitan Indonesia berjudul Modus Operandi.

Penglibatannya dalam naskhah drama online tersebut merupakan satu daripada beberapa lagi tawaran yang diperoleh pemilik nama sebenar, Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam itu dari negara jiran.

“Ini merupakan satu pengalaman yang menarik dan tidak dapat dilupakan.

“Saya gembira kerana kerja keras selama ini tanpa disangka membuka mata ramai termasuk produksi luar yang mula menyedari kehadiran dan bakat saya.

“Saya bersyukur dengan beberapa tawaran yang diterima. Kalau kena dengan masa dan jadual saya pasti akan terima,” ujarnya.

Meerqeen yang pernah mencipta fenomena bersama pelakon gandingannya Anna Jobling sebelum ini pernah berkunjung ke Jakarta untuk bertemu peminat. 

Dari situ bermulalah episod perjalanan karier Meerqeen di Indonesia apabila menerima tawaran berlakon drama bawah arahan Makbul Mubarak. 

“Sebelum ini saya pernah ke sana untuk bertemu peminat dan memenuhi undangan rancangan televisyen. Rentetan daripada kunjungan pertama itu, banyak rezeki yang terbuka untuk saya cuba.

“Sebagai pelakon baharu, sudah pasti saya gembira dengan rezeki ini. Mereka nampak sesuatu dalam diri saya.

“Ini merupakan penghormatan terbesar terutamanya dapat bekerjasama dengan Bank Rakyat Indonesia,” kata pelakon berusia 21 tahun itu.

Meskipun menerima rezeki melimpah-ruah, pelakon muda itu agak gemuruh untuk bergandingan dengan pelakon-pelakon Indonesia yang berbakat besar.

Bagaimanapun, semua pihak berbesar hati menerima kehadiran Meerqeen dan banyak memberikan tunjuk ajar untuk menyempurnakan projek itu dengan jayanya.

“Saya sangat teruja namun dalam masa sama agak gemuruh untuk bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman. Ini merupakan produksi pertama saya di sana dan sedikit sebanyak ada perbezaan terutamanya dalam cara kerja. 

“Tetapi saya sangat gembira kerana mereka banyak membantu terutamanya dalam proses pra produksi. Bagi melicinkan proses seterusnya, kami menjalani latihan terlebih dahulu dan ini merupakan sebahagian dari pengalaman berharga buat saya,” tambah Meerqeen. 

Sebagai pendatang baharu dalam bidang seni, Meerqeen sangat menghargai sokongan dan doa yang tidak henti-henti daripada peminat sehingga dia mampu menapak sejauh ini. 

“Kepercayaan yang diberikan ini membakar semangat saya untuk terus berusaha keras dan membuktikan kehadiran saya dalam bidang seni bukan main-main. Saya serius untuk menjadi insan seni yang disegani,” tuturnya. 

Selain daripada Meerqeen yang menjadi watak utama, Krito Immanuel, Yusuf, Mahardika, Diandra Agatha dan Maudy Effrosina juga terlibat dalam drama Modus Operandi yang ditayangkan pada 4 November menerusi saluran YouTube Bank Rakyat Indonesia (BRI). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI