KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Seri Rossa mencuri perhatian penonton apabila menggayakan busana bernilai RM235,000 sentuhan pereka fesyen terkenal Belanda, Iris Ven Herpen ketika menjayakan Konsert Rossa 25th Shining Years malam tadi.
Ditemui usai persembahan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Rossa berkata, dia tidak perlu berkira untuk berbelanja besar memiliki busana tersebut untuk digayakan bersempena 25 tahun penglibatannya dalam industri muzik.
“Saya sanggup membelinya kerana mahu meraikan 25 tahun penglibatan saya dalam industri sebagai penyanyi.
“Sebelum ini saya pernah menggayakan busana daripada pereka tempatan termasuk dari Singapura dan Malaysia. Kali ini saya mahu memberikan kelainan,” katanya yang dilihat memakai busana berwarna hijau itu ketika segmen pertama dalam konsert tersebut.
Tambah Rossa, usaha untuk mendapatkan khidmat daripada pereka fesyen itu juga bukan mudah kerana dia harus melepasi beberapa kriteria penting.
“Dia (Iris Ven Herpen) akan meneliti profil seseorang artis dan tujuan baju itu dipakai,” jelasnya.
Pada masa sama, penyanyi berusia 43 tahun itu turut terharu dan gembira dengan sambutan kira-kira 3,000 peminatnya yang membanjiri ruang dewan.
“Full house! (penuh). Saya sangat gembira dengan kehadiran mereka (peminat) ke konsert saya.
“Mereka ikut menyanyi bersama-sama ketika saya membuat persembahan di atas pentas dan itu membuatkan saya berasa sangat teruja,” katanya.
Rossa juga berasa amat terharu atas sokongan ramai rakan artis bukan sahaja dari Malaysia, bahkan dari Indonesia yang turut hadir menonton konsertnya.
Antara selebriti yang disebut hadir ialah Datuk Amy Search, Shiha Zikir, Puteri Sarah Liyana dan Tya Ariffin.
Lebih mengejutkan Rossa apabila penyanyi Cakra Khan juga sanggup terbang dari Indonesia semata-mata mahu menyaksikan persembahannya.
“Saya memang terkejut kerana tidak tahu dia (Cakra) akan datang. Apabila membaca nama rakan artis yang hadir pada skrin monitor, saya terbaca namanya.
“Saya sangat gembira dengan kehadiran rakan-rakan artis pada malam ini. Terima kasih semua,”k ata Rossa yang turut menjemput Cakra naik ke atas pentas sehingga mendapat tepukan gemuruh penonton.
Bukan itu sahaja, Rossa atau nama lengkapnya Sri Rossa Roslaina Handiyani turut membuat kejutan apabila meminta rockers legenda negara, Amy Search untuk bernyanyi bersamanya ketika mendendangkan lagu Fantasia Bulan Madu dan Isabella.
Selain menyanyikan lagu-lagu popularnya seperti Tega, Pudar, Hati Yang Kau Sakiti dan Perawan Cinta, Rossa turut menyampaikan lagu penyanyi tempatan seperti Janji Manismu (Datuk Aishah), Suci Dalam Debu (Iklim), Bukan Cinta Biasa (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan Antara Anyer dan Jakarta (Datuk Shiela Majid).
Konsert yang dibawakan oleh Yayasan Prihatin Nasional itu juga diserikan dengan persembahan artis jemputan iaitu penyanyi Judika dan Hael Husaini. – KOSMO! ONLINE