PETALING JAYA – Penyandang kerusi Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Muhamed mengesahkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)
Beliau dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, perkara tersebut juga telah dimaklumkan kepada Presiden Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya telah memaklumkan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahawa saya tidak berhasrat untuk menawarkan diri bertanding bagi kerusi Parlimen Jeli (P.030) dalam PRU15.
“Keputusan ini dibuat antaranya setelah mengambil kira nasihat doktor mengenai tahap kesihatan yang tidak mengizinkan saya untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat yang berkesan,” katanya.
Sehubungan itu katanya, dia turut menzahirkan ucapan setinggi terima kasih kepada semua rakyat di kawasan Parlimen Jeli yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama sepanjang merencanakan agenda pembangunan sosioekonomi di Parlimen Jeli sejak tahun 1995.
“Sesungguhnya, saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan kepada saya selama ini untuk mewakili rakyat di Parlimen Jeli.
“Saya juga ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua sahabat yang menganggotai Jemaah Menteri atas segala bimbingan dan kerjasama yang diberikan sepanjang berada dalam barisan Jemaah Menteri.
“Terima kasih kepada kepimpinan kerajaan, penjawat awam Persekutuan dan negeri serta parti atas sokongan dan bantuan yang diberikan kepada saya sepanjang berkhidmat sebagai anggota pentadbiran kerajaan dan Ahli Parlimen,” katanya. – KOSMO! ONLINE