HULU TERENGGANU – Kehidupan seorang tukang rumah diuji apabila isteri yang menjadi tulang belakangnya selama ini diserang penyakit strok lebih sebulan lalu.
Mohd. Nasir Salleh, 53, berkata, serangan strok yang berlaku pada 17 September lalu membuatkan isterinya, Siti Normah Lebu, 45, kini terlantar di katil.
“Anggota badan kanannya lemah selain mulutnya herot. Masalah kesihatan itu memaksa isteri saya berhenti kerja sebagai pekerja am di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu.
“Saya yang bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan RM700 sebulan juga terpaksa mengambil cuti untuk menjaganya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Besar, Kuala Berang di sini baru-baru ini.
Mohd. Nasir memberitahu, dia kini mengambil alih tanggungjawab menguruskan rumah tangga bersendirian.
Menurutnya, anak sulungnya, Muhammad Affirul Afandi, 23, merupakan orang kelainan upaya kategori lembam dan kerap diserang asma yang memerlukan pemerhatian khusus.
“Empat lagi anak saya yang berusia 11 hingga 20 tahun masih belajar termasuk seorang daripada mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi di Kuala Terengganu.
“Saya reda dengan ujian ini, tetapi ketiadaan pendapatan kerana tidak dapat keluar bekerja bagi menjaga isteri dan rumah tangga sejak lebih sebulan lalu amat merungsingkan saya,” katanya.
Mohd. Nasir berkata, masalah kewangan juga menyebabkan dia tidak mampu menyediakan kerusi roda dan alat bantu jalan selain terpaksa berjimat-cermat untuk membeli lampin pakai buang dan susu khas dengan menggunakan wang simpanan.
Tambahnya, ketiadaan kerusi roda dan alat bantu jalan menyebabkan dia terpaksa memapah isterinya dengan bantuan anak-anak untuk ke bilik air.
“Mujur ada pertubuhan bukan kerajaan yang sudi memberikan bantuan katil boleh laras. Anak sulung saya juga menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300 sebulan,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang melalui akaun bank milik Mohd. Nasir bernombor 1150041000072929 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubunginya di talian 011-40298369.