fbpx

Bola sepak bukan ‘senjata’ berpolitik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KL mencipta sejarah apabila muncul naib juara Piala AFC tahun ini.
MOHD. FITRIE MUHAMMAD, Wartawan Eksekutif Kosmo!

JUTAAN tahniah wajar diberikan kepada Kuala Lumpur City kerana muncul naib juara Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Bagaimanapun, timbul cerita kurang enak apabila wujud dakwaan mengatakan ada desakan supaya pimpinan tertinggi melepaskan jawatan. Jika benar, ia satu pengkhianatan kerana pasukan berada di tahap terbaik walaupun ada kekangan tertentu.

“Saya diminta berjiwa besar dan meletak jawatan agar KLFA (Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur) akan terima duit dan Kuala Lumpur City akan turut menerimanya. Walaupun diminta, saya enggan kerana sedar implikasi pemergian saya.

“Pasukan tidak akan berjaya seperti sekarang kerana mereka yang dikenal pasti mengambil alih hanya berminat untuk memperalatkan pasukan ini untuk kepentingan perniagaan dan agenda peribadi,” kata Presiden KLFA, Khalid Abd Samad.

Kenya­taan Khalid itu seakan mengiyakan desakan sedang dilakukan dan berita ini tidak elok didengar ketika kita sedang menanti Pilihan Raya Umum ke-15.

Usah salahkan peminat jika ada yang mengatakan bola sepak menjadi mangsa permainan politik dan ‘senjata’ untuk tagih undi.

Pucuk pangkalnya, permainan politik wajib diasingkan de­ngan sukan kera­na objektif pasti terarah kepada usaha menaikkan nama Malaysia dalam peta bola sepak Asia. Umumnya, bola sepak adalah hak semua orang.

Persoalannya, adakah sudah menjadi sesuatu yang mandatori untuk mengasingkan ahli politik daripada bola sepak, sedangkan situasi ini bukan sesuatu yang a­sing jika individu itu berpaksikan kepada kebaikan pasukan dan bukannya kepentingan peribadi mahupun karier politik.

“Saya rasa bila orang politik ada dalam sukan, perlunya orang yang memainkan peranan beri penjelasan yang mereka tidak boleh buat keputusan teknikal. Mereka boleh bercerita tentang imbuhan, fasiliti atau apa yang boleh dibantu pihak berwajib.

“KL City tidak ‘hancur’ sebab ada orang perjelaskan peranan kepada ‘orang politik’. Apabila dijelaskan dengan baik, penerimaan mereka juga akan jadi baik. Sekarang peranan itu jelas.

“Asasnya adalah masing-ma­sing perlu tahu kepakaran. Dalam masa 24 jam adakah saya boleh jadi menteri? Sudah pasti tak boleh sebab tidak faham bidang tugas menteri.

“Saya sendiri kalau masuk bilik persalinan tetap akan minta kebenaran jurulatih. Jangan jadikan bola sebagai batu loncatan.

“Jadi bila pasukan berada di tahap terbaik, semua orang akan dapat nama. Bagi saya biarlah mereka (orang politik) dapat kredit,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard.

Siapa pun yang berkuasa dalam pasukan, ketepikan fahaman politik demi kebaikan kelab.

Menyelusuri semula perjalanan KL City, kelab ini juga pernah menjadi platform menyatukan Khalid dan Tan Sri Annuar Musa (mantan Presiden KL City) ketika The City Boys menjulang Piala Malaysia, musim lalu.

“Mungkin kita boleh buat pendidikan untuk pastikan orang politik faham. Kalau pasukan berjaya mereka juga dapat sesuatu. Bila pasukan berjaya, orang akan nampak siapa di belakang sekali gus buktikan orang politik tidak kacau pasukan. Nak tukar budaya ambil masa dan proses itu sedang dilakukan KL City. Saya selalu jelaskan kalau mahu ‘bergaduh’ pergi Parlimen kerana bola perlu tahu hadnya,” katanya.

Apa yang diperkatakan Stanley itu ada benarnya. Negara ini berpaksikan demokrasi dan perubahan yang ingin dibawa dalam persatuan sukan harus dilakukan menerusi saluran betul iaitu Mesyuarat Agung Tahunan KLFA tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI