SEOUL – Korea Utara melancarkan lebih 10 peluru berpandu hari ini, termasuk satu yang jatuh pada jarak amat hampir dengan perairan Korea Selatan, membuatkan Presiden Yoon Suk-yeol mendakwanya sebagai ‘satu pencerobohan wilayah yang menyeluruh’.
Sebuah peluru berpandu balistik jarak dekat dilancarkan melintasi sempadan de facto antara kedua-dua negara yang digelar Garisan Had Utara (NLL), menyebabkan amaran dikeluarkan untuk penduduk di pulau Ulleungdo bagi mencari perlindungan.
Menurut tentera, insiden peluru berpandu Pyongyang yang mendarat begitu dekat dengan perairan wilayah Korea Selatan itu berlaku kali pertama sejak Semenanjung Korea terbahagi dua semasa akhir permusuhan Perang Korea pada 1953.
“Suk-yeol hari ini menegaskan bahawa provokasi dilakukan Korea Utara adalah pencerobohan wilayah yang menyeluruh apabila peluru berpandunya melintasi NLL buat kali pertama sejak pembahagian itu,” kata Pejabat Presiden dalam satu kenyataan.
Peluru berpandu tersebut dikatakan mendarat di perairan yang terletak hanya 57 kilometer di bahagian timur tanah besar Korea Selatan, kata tentera.
Tentera turut mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan pelancaran misil berhampiran perairan itu sebagai ‘sangat jarang dan tidak boleh bertolak ansur’.
Amaran udara semalam dikeluarkan untuk Pulau Ulleungdo yang disiarkan di stesen televisyen nasional dengan mengarahkan penduduk untuk berpindah ke tempat perlindungan bawah tanah terdekat.
Ketua Staf Bersama Korea Selatan pada awalnya berkata, ia mengesan pelancaran tiga peluru berpandu balistik jarak dekat sebelum mengumumkan bahawa Pyongyang telah melancarkan sekurang-kurangnya 10 peluru berpandu pelbagai jenis ke arah timur dan barat.
Susulan insiden tersebut, Suk-yeol mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara berhubung pelancaran itu, mengarahkan langkah pantas dan tegas supaya provokasi Korea Utara dapat ‘membayar harga yang sepatutnya’. – AFP