PILSEN, Republik Czech – Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez enggan menganggap mereka sebagai pilihan utama Liga Europa walaupun menyasarkan untuk menjuarai kejohanan kelas kedua Eropah itu.
Barcelona terpaksa menerima hakikat jatuh ke saingan Liga Europa selepas gagal melangkah ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara apabila sekadar menghuni tempat ketiga Kumpulan C.
Kemenangan 4-2 ke atas Viktoria Plzen pada aksi terakhir di Arena Doosan awal pagi semalam sekurang-kurangnya membolehkan The Catalans membawa bekalan keyakinan ke Liga Europa selepas ini.
“Ia sesuatu yang bagus apabila anda masih ada saingan Liga Europa untuk beraksi selepas ini. Sekurang-kurangnya anda masih beraksi di Eropah.
“Pasukan seperti Barca sentiasa menjadi calon pilihan. Saya anggap kami antara pasukan pilihan untuk memenangi Liga Europa pada edisi kali ini,” kata Xavi.
Gergasi Sepanyol itu meraih empat gol menerusi dua jaringan Ferran Torres dan masing-masing satu daripada Marcos Alonso serta Pablo Torre.
Plzen yang meraih dua gol menerusi Tomas Cory terpaksa akur menamatkan kempen Liga Juara-Juara musim ini tanpa sebarang kemenangan daripada enam perlawanan.
Sebagai rekod, Barcelona juga tersingkir ke Liga Europa musim lalu, namun perjalanan mereka terhenti di suku akhir selepas tewas agregat 4-3 kepada Eintracht Frankfurt yang akhirnya memenangi kejohanan itu. – AGENSI