MANCHESTER – Manchester United menerima khabar gembira apabila penyerangnya, Anthony Martial kembali menjalani latihan selepas pulih daripada masalah kecederaan yang dialami.
Kehadiran Martial mampu menambahkan kekuatan United ketika mereka bakal turun menentang Real Sociedad pada aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Europa dalam misi meraih juara kumpulan.
Pemain berusia 26 tahun itu sekadar beraksi empat perlawanan setakat ini dengan tiga aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), manakala satu di Liga Europa ekoran beberapa siri kecederaan.
Bagaimanapun, Martial masih berjaya membuktikan kemampuannya sebagai penyerang apabila meledak tiga gol dalam empat aksi berkenaan yang mana tiga daripada perlawanan menyaksikan dia hanya dimasukkan sebagai pemain gantian.
Pemain antarabangsa Perancis itu berharap dia dapat diturunkan untuk aksi di San Sebastian nanti, namun sekiranya pengendali United, Erik Ten Hag menganggap ia terlalu awal, Martial berpeluang untuk beraksi menentang Aston Villa Ahad nanti.
Selepas dua aksi minggu ini, United hanya mempunyai dua sahaja lagi aksi iaitu menentang Villa sekali lagi di Piala Liga Inggeris dan Fulham di EPL sebelum aksi dihentikan untuk memberi laluan kepada saingan Piala Dunia.
Kesemua perlawanan berkenaan sangat penting buat Martial untuk membuktikan tahap kecergasan dan kemampuannya untuk meraih tempat pada saat terakhir dalam skuad Perancis ke Qatar nanti. – AGENSI