PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana pada musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan ini.
Pengarahnya, Nor Arifin Kamari berkata, walaupun secara asasnya Putrajaya bukanlah kawasan ‘hot spot’ kejadian banjir, namun segala kemungkinan boleh berlaku dan kesiapsiagaan tahap tinggi amat diperlukan.
Menurutnya, statistik menunjukkan sepanjang tempoh dari tahun 2000 sehingga 2022, terdapat tiga kejadian banjir kilat yang berlaku iaitu pada 2016, 2018 dan 2020.
“Intipati kesiapsiagaan bencana yang dijalankan meliputi konsep pengisian berkaitan pengoperasian yang menyeluruh dari segi latihan, logistik, komunikasi, perintah dan kawalan serta peralatan dan jentera.
“Selain itu, teras utama dalam konsep pelaksanaan kesiapsiagaan bencana adalah menguji pengurusan pengoperasian dan kesiapsiagaan peralatan, anggota serta prosedur operasi standard yang berkaitan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kesiapsiagaan Bencana dan MTL Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya di Kelab Tasik Putrajaya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nor Arifin berkata, JBPM Putrajaya khususnya sentiasa bersiap siaga dan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa dan turut bersedia untuk membantu negeri-negeri berhampiran yang terjejas dengan insiden banjir.
Jelasnya, selain menjadi persiapan keanggotaan bagi menghadapi bencana monsun MTL, program latihan yang dijalankan sejak awal Oktober lalu itu juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan dan membentuk kolaborasi serta koordinasi antara agensi-agensi penyelamat bagi pengurusan bencana.
“Justeru kesiapsiagaan bencana yang dijalankan ini amat signifikan dalam kita menghadapi musim banjir,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE