PETALING JAYA – Penularan semula virus Covid-19 membuatkan pelakon, Ruhainies mengambil langkah berjaga-jaga dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) kendiri bagi mengurangkan risiko.
Kata pemilik nama penuh Nur Ruhainies Farehah Zainul Illyas itu, berita mengenai rakan selebriti yang positif Covid-19 ketika bercuti di luar negara juga antara faktor dia lebih berhati-hati terutama ketika di tempat orang.
“Saya baru pulang dari London atas urusan kerja. Memang sepanjang di sana saya pastikan jaga jarak dan mengenakan pelitup muka.
“Biarpun kes jangkitan semula tidak mencanak naik seperti sebelum ini, kena ambil langkah perlu dan jangan terlampau selesa.
“Saya tinggal dengan mak ayah yang mempunyai masalah kesihatan, memang risau sekiranya kesan terkena tempias pada orang tersayang.
“Jadi boleh dikatakan sepanjang 13 jam penerbangan pulang ke tanah air, saya pakai pelitup muka,” katanya kepada Kosmo! Online.
Justeru, bintang drama bersiri Sorry Naik Lori itu berharap situasi positif pasca pandemik kini dapat terus berkekalan, sekali gus membolehkan ekonomi serta kehidupan masyarakat berjalan lancar.
Sementara itu, Ruhainies turut menyimpan hasrat membawa keluarganya bermain salji di Switzerland akhir tahun ini.
Percutian tersebut direalisasikan hasil pendapatannya dalam bidang seni selepas dapat kembali bekerja pasca pandemik.
“Alhamdulillah tahun ini rezeki dalam bidang seni terus datang selepas dua tahun Covid-19 melanda dunia, jadi memang saya kena kerja keras.
“Kalau sebelum ini saya sibuk di set penggambaran, rezeki yang saya peroleh ini saya kongsikan pula dengan keluarga. Mereka penyuntik semangat saya,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE