IPOH – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Larut, Mohd. Syafiq Fhadly Mahmud tidak gentar untuk berhadapan dengan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)
Mohd. Syafiq Fhadly, 37, berkata, walaupun dianggap sebagai calon ‘underdog’, ia sama sekali tidak mencalarkan semangatnya malah yakin mampu memberi saingan di kerusi berkenaan.
“Saya telah bersedia berhadapan tidak kira siapa pun di Larut kerana yang pasti kita membawa semangat dan roh perjuangan UMNO dan BN.
“Saya juga membawa semangat jentera BN di Larut. Kita dapat lihat bagaimana jentera bekerja keras, (gerak kerja) mereka bukan hanya pada PRU15 tetapi telah lama sejak kalah pada 2018 (PRU14),” katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon PRU15 BN Perak oleh Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad di Hotel Casuarina@Meru di sini hari ini.
Menurut Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut itu, kehadirannya di kerusi Parlimen itu juga bagi membuktikan bahawa rakyat di kawasan berkenaan masih lagi bersama BN.
“Pada saya, apa yang BN pertaruhkan bukan sekadar diri saya sendiri tetapi mempertaruhkan maruah UMNO dan BN.
“Pada PRU14, rakyat telah beri mandat kepada BN tapi malangnya rakyat di Larut telah dikhianati. Ini masa untuk kita buktikan semula bahawa rakyat Larut masih lagi bersama BN dan Insya-Allah, saya yakin dan percaya rakyat akan tentukan pada 19 November ini (hari pengundian),” katanya.
Terdahulu, Mohd. Syafiq Fhadly yang juga jurutera petroleum membuat kejutan apabila diumumkan bertanding di kerusi Parlimen Larut menggantikan Datuk Mohd. Kazim Elias.
Pendakwah bebas yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim itu menarik diri pagi ini daripada bertanding mewakili BN di Parlimen berkenaan. – KOSMO! ONLINE