Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSUFF
KUALA TERENGGANU – Jaringan Jordan Mintah tiga minit sebelum wisel penamat cukup membantu Terengganu FC II (TFC II) mengatasi Pulau Pinang 1-0 dalam aksi penutup Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebentar tadi.
Kemenangan itu cukup untuk mencalar rekod tanpa kalah Pulau Pinang selaku juara yang tetap ceria menjulang trofi liga sejurus wisel penamat manakala TFC II menamatkan liga dengan 22 mata.
Dalam aksi berkenaan, ketua pasukan tuan rumah, Dechi Marcel, terlebih dahulu mencemaskan keadaan pada minit ke-14 sebelum Pulau Pinang mula mengatur serangan.
Berpunca satu serangan balas, skuad Harimau Kumbang berpeluang memecahkan kebuntuan namun usaha Al Hafiz Harun dari dalam kotak penalti gagal menemui sasaran pada minit ke-20.
Tujuh minit kemudian, peluang terbaik pelawat menjelma lagi namun Bobby Gonzales gagal menyempurnakan hantaran pendek Lee Chang Hoon dari sebelah kiri.
Memasuki minit ke-33, penjaga gol TFC II, Mohd Suhaimi Husin cemerlang menepis rembatan jarak jauh Al Hafiz bagi menyelamatkan pintu golnya.
Dengan kedudukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat, pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira membuat pencaturan memasukkan Anselmo Casagrande dan tandukan penjaring terbanyak Liga Premier itu tepat ke dakapan Mohd Suhaimi Husin pada minit ke-55.
Ketika permainan menuju penamat, penyerang kelahiran Ghana, Mintah, muncul wira TFC II selepas melakukan kuisan menewaskan Samuel Somerville untuk gol tunggal perlawanan. – K! ONLINE