PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 33 kematian akibat komplikasi denggi setakat ini berbanding 16 kematian bagi tempoh sama 2021, sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak 17 kematian atau 106 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kumulatif kes demam denggi dilaporkan sehingga kini pula sebanyak 49,569 kes berbanding 21,707 kes bagi tempoh sama tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 27,862 kes.
“Pada Minggu Epidemiologi ke-43 tahun 2022, jumlah kes demam denggi dilaporkan sebanyak 1,460 berbanding hanya 1,614 kes pada minggu sebelumnya iaitu penurunan sebanyak 154 kes.
“Selain itu, sebanyak empat kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-43 tahun 2022,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Dr. Noor Hisham berkata, lokaliti hotspot pada Minggu Epidemiologi 43 pula ialah sejumlah 56 lokaliti berbanding 51 lokaliti pada minggu sebelumnya menyaksikan peningkatan
sebanyak lima lokaliti.
“Daripada 56 lokaliti tersebut, 35 lokaliti hotspot berada di Negeri Selangor, Sabah (15), Kuala Lumpur (4), Putrajaya (4), dan masing-masing satu lokaliti di Negeri Sembilan serta Melaka.
“Survelan Chikungunya turut merekodkan sebanyak satu kes pada minggu ke-43 dengan kes itu direkodkan dari Selangor,” ujarnya.
Katanya, jumlah kumulatif kes Chikungunya sehingga kini ialah 670 kes manakala bagi survelan Zika, sebanyak 1,655 sampel darah dan 16 sampel urin telah dijalankan saringan dan hasilnya negatif.
“Nyamuk Aedes adalah vektor yang efisien penyebaran jangkitan demam denggi dan mempunyai jangka hayat selama 30 hari serta mampu menghasilkan antara 60 ke 120 biji setiap kali bertelur.
“Oleh itu, memusnahkan tempat potensi pembiakan nyamuk Aedes adalah langkah terbaik untuk memastikan rantaian jangkitan demam denggi diputuskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE