fbpx

PRU15, cuaca, Raihan tunda konsert tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAIHAN berkata, penundaan konsert memberi ruang untuk mereka menjalani latihan dengan lebih lama.

PETALING JAYA – Atas faktor Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan cuaca, Konsert Garis Masa Raihan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam pada 26 November ini ditunda ke tahun depan.

Mewakili Raihan, Che Amran Idris atau Che Am memberitahu keputusan tersebut dilakukan selepas mengambil kira semua faktor dan tarikh baharu untuk konsert tersebut sudah pun dipilih.

“Perbincangan telah dilakukan dengan pihak penganjur dan antara sebab ditunda ialah PRU15 serta ramalan cuaca yang tidak menentu.

“Justeru, konsert yang ditunda ini akan berlangsung pada 18 Februari 2023, sempena sambutan Israk Mikraj kelak,” katanya.

Tambahnya, pembelian tiket juga dihentikan buat sementara waktu dan akan dibuka semula pada 7 November nanti.

“Sistem pembelian tiket menerusi www.ticket2U.com.my dihentikan sementara dan akan dibuka semula bermula 7 November.

“Bagi yang ingin menukar perancangan, tuntutan pemulangan wang boleh dibuat dengan menghantar permohonan menerusi [email protected],” katanya lagi.

Dia juga berpandangan keputusan menunda konsert Raihan merupakan satu hal yang positif buat masa sekarang termasuk lambakan acara nyanyian melibatkan artis luar di sini.

“Insya-Allah, kami akan ada banyak masa untuk membuat persediaan lebih rapi bagi konsert ini.

“Tahun ini sahaja, kita dapat menyaksikan lambakan konsert artis tempatan dan luar negara yang dianjurkan dalam masa yang sangat padat.

“Nampaknya lebih sesuai kami adakan konsert ini tahun depan,” ujarnya.

Raihan yang dianggotai Che Am, Abu Bakar Md. Yatim dan Amran Ibrahim bakal mempersembahkan rangkaian lagu hit seperti Puji-Pujian, Iman Mutiara, Sesungguhnya, Thank You Allah, 25 Rasul dan Syukur.

Dalam pada itu, Che Am enggan mengulas kenyataan bekas anggota Raihan, Nazrey Johani yang meluahkan hasrat untuk bertemu dengannya bagi menyelesaikan masalah antara mereka yang masih berlaku sehingga hari ini.

“Saya minta maaf kerana masih belum boleh memberikan apa-apa komen berkenaan perkara itu.

“Tentang hal ini, kami mahu selesaikan tanpa melibatkan media,” jelasnya.

Sebelum ini, Nazrey memberitahu akan bertemu dengan Raihan bagi menyelasaikan sengketa antara mereka sekiranya jumlah pengikut TikToknya mencecah 100,000 orang.

Katanya, masalah antara mereka sehingga hari ini masih belum selesai sejak dia memilih untuk keluar dari kumpulan Raihan sekitar 2006. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI