ALOR SETAR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Pakatan Harapan (PH) pilih bulu semasa menjadi kerajaan sebelum ini apabila hanya mengambil tindakan terhadap perasuah dalam kalangan orang UMNO sahaja.
Sebaliknya, kata beliau, kes-kes rasuah membabitkan pemimpin PH pula dihenti atau digugurkan.
“Kita tak setuju dengan rasuah bukan hanya yang membabitkan UMNO sahaja, malah yang turut melibatkan DAP dan parti-parti lain juga.
“Kalau orang Pas pun rasuah, ambil tindakan dan itu barulah adil,” katanya ketika berucap pada Program Makan Malam bersama Presiden Pas di Kompleks Pas Pokok Sena dekat sini malam semalam.
Menurutnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengajak Pas untuk menyertai PH sebelum PRU14, namun partinya itu tidak dapat menerima pelawaan tersebut.
Kata beliau, ia bersandarkan pengalaman ketika bersama parti-parti lain yang membentuk Pakatan Rakyat (PR), suatu ketika dulu.
“Banyak benda salah dilakukan pada waktu itu menyebabkan kita rasa tak boleh lagi untuk masuk PH.
“Tiba-tiba PH menang PRU14 dengan menggunakan janji-janji bohong seperti nak menyelesaikan rasuah, turunkan harga minyak dalam masa 24 jam serta hapuskan tol selain hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Tetapi pada akhirnya mereka berebut nak jadi Perdana Menteri.
“Lalu tindakan terhadap perasuah diambil tetapi dalam kalangan orang UMNO sahaja, manakala orang PH yang rasuah, dihentikan perbicaraan. Kes terowong Pulau Pinang dihentikan dan ada kes-kes lain juga dihentikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE