KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen di Kelantan dan Terengganu serta dua lagi kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak diumumkan pada malam ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi kerusi Parlimen di Kelantan dan Terengganu, ia akan dimaklumkan dalam masa terdekat berkemungkinan esok atau lusa.
Menerusi senarai calon-calon yang diedarkan kepada pihak media, dua lagi calon bagi kerusi Parlimen yang belum diumumkan ialah Parlimen Arau, Perlis (calon Pas) dan Parlimen Batang Lupar, Sarawak (calon Pas).
Tiga lagi calon kerusi DUN yang belum diumumkan pada malam ini ialah kerusi DUN Kayang, Perlis (calon Pas), DUN Pengkalan Baharu, Perak (calon Bersatu) serta DUN Malim Nawar, Perak (calon Pas).
Terdahulu, antara calon tumpuan diumumkan pada malam ini termasuk Muhyiddin yang mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Parlimen Larut) dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Parlimen Tambun).
Selain itu, Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Parlimen Indera Mahkota); Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Parlimen Gombak); Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (DUN Cheka) serta Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad (Parlimen Bagan Serai).
Sebelum ini, PN sudah menamakan tiga calonnya yang akan bertanding iaitu Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin di Parlimen Putrajaya, Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun di Parlimen Sepang serta timbalannya Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Parlimen Masjid Tanah. – KOSMO! ONLINE