BENTONG – DAP yang akan bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 menampilkan tiga muka baharu termasuk dua calon Melayu.
Mereka ialah calon muda Ho Chi Yang berusia 27 tahun yang bertanding di kerusi DUN Tanah Rata, Muhammad Khairil Khalid (DUN Pulau Manis) dan Thomas Su di DUN Ketari.
Selain tiga kerusi DUN itu, DAP turut bertanding di lima lagi kerusi DUN Pahang dalam pilihan raya umum kali ini iaitu Tras, Mentakab, Sabai, Triang dan Bilut.
Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang juga calon DAP di kerusi Parlimen Lipis turut dicalonkan bagi kerusi DUN Tras.
Bagi kerusi DUN Mentakab, Sabai, Triang dan Bilut pula, DAP mengekalkan penyandang kerusi berkenaan iaitu Woo Chee Wan, D. Kamache, Leong Yu Man dan Lee Chin Chen.
Dalam pada itu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, dalam PRU kali ini menyaksikan jumlah kerusi ditandingi DAP di Parlimen dan DUN di Pahang meningkat satu kerusi iaitu Parlimen Lipis dan DUN Pulau Manis.
Katanya, calon yang dipilih DAP di Pahang juga adalah daripada pelbagai kaum termasuk tiga calon Melayu iaitu Young Syefura, Tengku Zulpuri dan Mohammad Khairil.
Anthony pada 26 Oktober lalu mengumumkan empat calon daripada parti itu akan bertanding di kerusi parlimen di Pahang.
Mereka ialah Young Syefura Othman (Bentong), Chow Yu Hui (Raub), Chiong Yoke Keong (Cameron Highlands) dan Tengku Zulpuri di kerusi parlimen Lipis. – KOSMO! ONLINE