MARAN – Selepas dikatakan tidak dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN) di Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib yang dilihat sebagai calon boleh menang kini dirisik oleh parti pembangkang.
Difahamkan sebuah parti Melayu telah menawarkan Ismail untuk mewakili mereka sama ada di Parlimen Maran atau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit atau Chenor.
Bagaimanapun difahamkan masih tiada apa-apa keputusan yang dibuat oleh Ismail yang dilihat masih menunggu pengumuman pencalonan calon BN pada malam ini
Berdasarkan berita tular menyatakan Ismail yang telah empat penggal memenangi kerusi Parlimen Maran tidak dipilih dan kerusi Parlimen Maran diberikan kepada penyandang Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 Ismail berjaya memperoleh majoriti 3,763 undi apabila mendapat 16,064 undi menewaskan calon Pas, Hasenan Haron yang mendapat 12,301 undi dan calon PKR, Ahmad Farid Ahmad Nordin yang memperoleh 4,360 undi.
Sementara itu Ismail yang ditemui tidak mahu mengulas lanjut mengenai desas desus nama beliau digugurkan sebaliknya menunggu pengumuman yang akan dibuat oleh parti malam ini.
“Benda ini belum pasti, pengumuman belum dibuat, saya tidak boleh cakap apa-apa, masa isytihar nanti kita tahu,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE