KANGAR – Dua pemimpin UMNO Perlis sepakat meminta kepimpinan tertinggi mempertimbangkan senarai calon dihantar bahagian masing-masing sebelum pengumuman dilakukan malam ini.
Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kepimpinan tertinggi yang bertanggungjawab menyaring dan memilih calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu melihat senarai nama dihantar bahagian.
“Saya tidak terpilih tak mengapa, namun dengan syarat perlu memilih nama yang dicalonkan daripada senarai yang dipersetujui UMNO Bahagian Arau.
“Kalau khidmat saya sudah tidak diperlukan lagi, sekurang-kurangnya nama yang dicalonkan dalam senarai bahagian seperti Ketua Wanita, Ketua Puteri atau lain-lain terpilih,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, beliau difahamkan nama bakal calon bertanding adalah individu yang tidak pernah hadir mesyuarat.
Justeru, beliau mempersoalkan bagaimana calon itu boleh terpilih sedangkan tidak ada dalam senarai pencalonan bahagian.
Shahidan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus mengatakan nama beliau tidak tercalon sehingga membuatkan sebahagian jentera di Arau bertindak menurunkan bendera BN.
Dalam perkembangan berkaitan, tindakan penyokong menurunkan bendera dan menutup bilik gerakan, Shahidan memaklumkan sebenarnya belum ada arahan membuka bilik gerakan negeri itu termasuk di kawasan Kangar dan Padang Besar
Tambahnya, penyokong parti membuka bilik gerakan secara suka-suka sahaja namun disebabkan tiada peruntukan, mereka menangguhkan kerja-kerja kempen terlebih dahulu.- KOSMO! ONLINE