Tinggal tiga hari lagi kita akan mengetahui siapa calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Setiap parti sudah membuat tapisan dan berusaha menonjolkan calon yang terbaik.
Calon yang dipilih dikatakan berwibawa, bukan sekadar rakan bual di kedai kopi. Di satu sudut, calon ini amanah, bukan mereka yang abai tanggungjawab pada keluarga. Malah tak kurang juga parti menegakkan pilihan mereka itu bersih dan golongan ilmuan.
Walau apapun baik bagi parti, belum tentu disukai pengundi. Persoalan yang timbul adakah calon ilmuan yang tidak pernah menjadi wakil rakyat di peringkat kawasan mampu menangani arus naik turun politik.
Malah adakah calon yang terpalit dengan kes mahkamah masih menjadi pilihan. Sejak kelmarin ada pemimpin menyatakan rasa sedih secara terbuka apabila tidak dicalonkan. Lebih menjengkelkan kesedihan itu turut mengheret pengundi. Video tolak calon lain secara terbuka dipertontonkan selain ada yang keluar parti marah kerana tidak dipilih.
Adakah ini golongan ‘cah keting’. Tidak berlapang dada dan mungkin mahu terus berkuasa. Lebih 21.1 juta pengundi PRU15, semuanya bijak menilai, tidak mudah dibeli dengan ‘kata-kata’ manis.
Di sebalik tanggungjawab pengundi untuk memilih, lebih besar tekanan adalah memilih calon yang mampu memperbaiki struktur kewangan dan kestabilan negara.
Ramai juga yang berkira-kira untuk pulang mengundi. Mahu undi pos pula tidak layak. Setakat ini, Terengganu dikhabarkan ada rancangan bawa balik pengundi luar, tetapi negeri lain belum ada berita.
Mereka yang menggunakan pengangkutan udara pastinya menuntut belanja besar tidak kurang juga yang mempunyai anak ramai.
Tinjauan mendapati ada yang terpaksa melupakan niat walaupun bersarang dalam hati mahu menukar tampuk kepimpinan kawasan masing-masing.
Pulang ke kampung bukan sehari dua dan tidak mungkin seorang, makan serta tempat tinggal semuanya menggunakan duit.
Bagi penjawat awam, gaji bulan lepas diterima sebelum sambutan Deepavali dan gaji seterusnya adalah lima hari selepas hari mengundi.
Bagi kakitangan swasta pula dilema tengah bulan. Balik kampung memang seronok, tetapi lebih membahagiakan jika poket penuh. Ada duit sebelum dan selepas bercuti.
Sebagai contoh, mahu pulang mengundi di Ipoh memerlukan kira-kira RM200 untuk pergi balik. Perbelanjaan merangkumi petrol, tol dan makan tidak termasuk tempat tinggal.
Jumlah tersebut boleh digunakan untuk membeli barang mentah untuk hidangan empat hari.
Oleh itu, ada yang bersikap ‘ada duit kita balik mengundi, tiada kita duduk diam-diam sahaja.’
Bagi sesetengah orang ia mungkin benda kecil, tapi di pihak lain apa yang penting memastikan ada hidangan di atas meja setiap hari bagi mengisi perut yang lapar.
Pada akhirnya, kita semua mempunyai tanggungjawab. Pesan seseorang jangan pilih individu yang terbukti tamak kepada kekayaan diri, keluarga dan kroni dengan mengabaikan nasib rakyat ‘kelaparan’.