SEBERANG PERAI – Pengguna perkhidmatan komuter Utara kini berpeluang menikmati penjimatan kos perjalanan sehingga 33 peratus berbanding pembelian tiket harian dengan pelancaran dua pas perjalanan iaitu secara mingguan dan bulanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, pengenalan pas yang disifatkan ‘mesra rakyat’ itu merupakan inisiatif baharu yang diperkenalkan pihaknya dalam memberikan kemudahan perjalanan lebih mampan dan menjimatkan kepada pengguna.
Menurutnya, pas perjalanan secara bulanan akan memberikan penjimatan sehingga 10 hari kepada pengguna manakala pas mingguan pula akan memperoleh penjimatan selama dua hari.
“Semua pas perjalanan mingguan dan bulanan itu boleh didapati mulai hari ini di aplikasi KTMB Mobile dan laman sesawang KTMB.
“Sementara itu, bagi tiket konsesi seperti warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak yang berusia antara empat hingga 12 tahun pula, pas ini hanya boleh didapati di kaunter tiket sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pas Perjalanan Mingguan dan Bulanan KTMB Sektor Utara yang turut dihadiri Pengerusi KTMB, Datuk Musa Sheikh Fadzir di Stesen KTMB Bukit Mertajam, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, KTMB kini dalam proses untuk meningkatkan bilangan penumpangnya selepas negara memasuki era peralihan kepada endemik Covid-19.
“Pada masa ini, kita berupaya untuk membawa sehingga 11,000 penumpang (pada satu-satu masa) secara keseluruhannya.
“Bagaimanapun, jumlah itu belum menyamai bilangan penumpang sebelum Covid-19 iaitu sehingga 17,000 dan kita jangka peningkatan tersebut akan berlaku secara mendadak menjelang hujung tahun ini,” ujarnya.
Tambahnya, KTMB juga berhasrat untuk menambah baik mutu perkhidmatan mereka termasuk menambah bilangan gerabak selewat-lewatnya menjelang 2025 nanti. – KOSMO! ONLINE