KITAR semula merupakan satu amalan baik yang harus diterapkan bagi membolehkan sisa pepejal yang dibuang dapat diuruskan dengan sebaiknya.
Kini kita dapat melihat banyak tong-tong kitar semula ditempatkan di kawasan terbuka bagi mendidik masyarakat tentang amalan tersebut.
Bukan itu sahaja, malah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) juga sedang giat melaksanakan Kempen Pembitaran Amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dan
Budaya Kebersihan Di Pejabat serta Pejabat Sifar Sisa.
Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib berkata, matlamat utama kempen itu adalah untuk menggalakkan semua pejabat kerajaan melestarikan kawasan mereka agar tiada sampah yang dihasilkan langsung seboleh-bolehnya.
Dia memaklumkan, pihaknya juga mahu memastikan bahawa sisa pepejal di pejabat dapat diminimumkan dan diurus dengan baik.
“Aktiviti kitar semula perlu dibudayakan agar penjanaan sisa dan kos pengurusan sisa pepejal dapat dikurangkan.
“Amalan ini bukan saja perlu diterapkan kepada kanak-kanak. Malah, golongan dewasa juga harus memainkan peranan dalam usaha kita membudayakan amalan ini kepada setiap lapisan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, pihak SWCorp juga telah berbesar hati menyerahkan satu set tong kitar semula kepada program Sains Pengurusan Alam Sekitar (SPAS), Institut Sains Biologi (ISB), Universiti Malaya (UM).
Ia sebagai galakan kesedaran amalan pembudayaan kitar semula di pejabat-pejabat di UM.
Sesi penyerahan tersebut telah diadakan di ISB dengan Ketua Jabatan ISB, Prof. Dr. Mohamad Suffian Mohamad Annuar turut bersama-sama memberi sokongan dengan menerima tong tersebut.
Aktiviti tersebut diserikan dengan kehadiran pelajar-pelajar yang sedang mengikuti jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Alam Sekitar di UM.
Aktiviti itu dapat memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai cara SWCorp melaksanakan kempen kesedaran dan membudayakan amalan menjaga alam sekitar dalam kalangan komuniti.
Sementara itu, Ummi Kalthum berkata, bagi melaksanakan kempen itu, pihaknya telah mendapatkan dana daripada Kementerian Kesihatan melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat.
“Kita membeli set tong kitar semula ini untuk diserahkan kepada pejabat-pejabat terpilih dan edarannya telah bermula sejak Ogos lalu.
“Kami menyasarkan untuk menempatkan 20 set tong kitar semula di pejabat-pejabat terpilih di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ummi Kalthum berkata, amalan kitar semula di negara ini masih pada paras rendah.
Menurutnya, pada tahun lalu, kadar kitar semula di Malaysia hanya 34 peratus.
“Malah, di Wilayah Persekutuan sendiri, sisa pepejal yang dibuang adalah sebanyak 2,200 tan sehari.
“Kalau kita amalkan amalan kitar semula ini, ia akan mengurangkan kadar pembuangan sisa pepejal,” jelasnya.
Tambahnya, pada tahun ini, pihaknya berhasrat untuk meningkatkan kadar kitar semula di negara ini kepada 36 atau 38 peratus.
Dalam pada itu, Dr. Mohamad Suffian berkata, pihak ISB dan UM amat berbesar hati kerana dipilih oleh SWCorp untuk melaksanakan kempen tersebut.
Menurutnya, sasaran SWCorp bagi menggalakkan amalan 3R di pejabat adalah sangat tepat.
“Di pejabat kami sendiri ada banyak sumber-sumber atau sisa yang boleh dikitar semula.
“Malah, kami di ISB telah mula mengurangkan penggunaan kertas agar tidak menjadi sisa. Salah satu contoh adalah sebarang urusan surat menyurat dibuat secara elektronik dan bukannya dalam bentuk kertas,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, inisiatif yang dibawakan oleh SWCorp dengan menyumbang set tong kitar semula itu mampu memberi petunjuk visual kepada orang ramai untuk turut melaksanakan amalan tersebut dalam kehidupan harian.
Katanya, sekiranya tiada tong kitar semula yang menunjukkan pengasingan sisa pepejal, orang ramai akan membuang sampah begitu sahaja.