fbpx

Beby Acha tolak disamakan dengan Baby Shima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KATA Beby Acha, meskipun namanya hampir sama dengan Baby Shima tetapi mereka memiliki kelebihan berbeza mengikut diri masing-masing.

PETALING JAYA – Penyanyi dangdut Beby Acha enggan disamakan dengan penyanyi sensasi Baby Shima walaupun mereka mempunyai panggilan nama dan genre muzik yang hampir sama.

Beby atau nama lengkapnya Nur Aishah Md. Shari ketika ditemui Kosmo! Online berkata, dia menganggap persamaan antara nama pentas yang digunakan itu hanyalah secara kebetulan.

Termasuklah dari segi genre muzik yang hampir sama.

“Sama ke? (dengan Baby Shima). Tidaklah. Sejak dari bangku sekolah lagi memang orang dah panggil saya dengan panggilan ‘Beby’.

“Selepas masuk dalam industri, saya gunakan terus nama gelaran itu. Senang,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah penyanyi berusia 31 tahun itu, dia turut menegaskan personaliti dirinya dengan Baby Shima juga berbeza dengan kelebihan bakat tersendiri.

“Semuanya secara kebetulan sahaja.  Meskipun dikenali sebagai penyanyi dangdut, saya juga sebenarnya mahu dikenali sebagai penyanyi yang boleh membawakan pelbagai genre muzik berbeza.

“Itu adalah antara impian abang saya, Allahyarham Achik Spin yang yakin dengan bakat nyanyian saya ketika dia masih ada dulu,” katanya.

Ketika disoal tentang keinginannya untuk mengembangkan kerjaya sehingga ke negara seberang (Indonesia) seperti yang dilakukan Shima, Beby Acha juga tidak terkecuali mahukan peluang sebegitu jika diberikan rezeki suatu hari nanti.

“Kalau ada rezeki kenapa tidak? Tidak salah untuk saya mencuba menembusi pasaran muzik Indonesia. Sebab peluang dalam industri ini sangat luas. Insya-Allah, rezeki Allah itu ada.

“Kalau ada peluang, apa salahnya untuk saya mencuba nasib. Tak kisahlah orang nak cakap apa, yang penting saya mencari rezeki yang halal,” katanya.

Bercakap tentang perkembangan terkini, Beby Acha yang ditemui semasa majlis minum petang bersama artis naungan Rusa Music baru sahaja melancarkan sebuah single duet berjudul Semaian Cinta bersama Azzara Band.

“Alhamdulillah, selepas cemerlang dengan lagu Jaga-Jaga juga bersama Azzara Band sehingga berjaya mencatatkan jumlah tontonan dalam YouTube mencecah 23 juta, saya kini muncul dengan sebuah lagu berjudul Semaian Cinta.

“Saya berharap lagu ini juga berjaya mendapat tempat di hati pendengar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI