PETALING JAYA – Seorang remaja didakwa pelajar Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI) mengalami kemalangan di jalan raya sempat merakam gambar kenangan bersama kereta Myvi miliknya semalam.
Kejadian tersebut didakwa berlaku di selekoh tajam berhampiran dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Rata-rata netizen memujinya dan menyifatkan dia seakan-akan telah memenangi trofi kemenangan lantaran bersikap terlalu santai bagi mereka yang baru sahaja mengalami kemalangan.
“Kereta Myvi sudah terbalik pun abang masih boleh bertenang dan santai. Berbeza dengan saya yang memandu kereta Navara. Saya pun baru sahaja mengalami kemalangan dan jari kaki saya patah,” ujar seorang warga maya.
“Abang, abang tengah kemalangan. Bukannya sedang meraih anugerah,” seloroh seorang lagi pengguna.
Dalam pada itu, terdapat juga warga maya yang menjadikan kemalangan tersebut sebagai satu bahan gurauan sekali gus memuji ketahanan Myvi tersebut.
“Antara banyak-banyak kemalangan, kemalangan ini yang terlihat begitu estetik. Siap mampu tersenyum lagi. Gambar pun kelihatan menarik,” tulis seorang pengguna.
“Myvi sentiasa selamat dan mampu menyelamatkan pemiliknya. Alhamdulillah, pemandu dan penumpang selamat,” komen seorang lagi pengguna TikTok.
Susulan itu, remaja tersebut mengingatkan kepada pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati sewaktu memandu di jalan raya terutamanya di selekoh yang tajam.
Perkongsian gambar menerusi akaun pengguna TikTok Cadadd tersebut telah berjaya meraih 541,100 jumlah tontonan setakat ini. – KOSMO! ONLINE