MELAKA – Industri sawit negara terus merudum apabila kekurangan lebih 80,000 tenaga buruh asing selain rakyat tempatan tidak berminat untuk bekerja dalam lapangan itu.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, jumlah tenaga tempatan hanya meningkat 0.6 peratus pada tahun ini selain hanya menerima kemasukan 13,000 buruh asing berbanding 100,000 yang diperlukan.
Katanya, negara berdepan dengan jumlah buruh yang sangat terhad, kemasukan pekerja buruh asing sangat perlahan dan masalah ini bukan disebabkan kuota kita tetapi negara pembekal itu sendiri.
“Apa yang penting dalam bidang ini adalah kerja-kerja menuai tetapi rakyat tempatan kita memang tidak berminat untuk melakukannya secara manual dan tahun ini jumlah buruh hanya meningkat 0.6 peratus,” katanya selepas Majlis Seminar Mekanisasi dan Buruh Dalam Perladangan (LAMP 2022) di Banda Hilir, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Tambahnya, kebergantungan negara pada tenaga kerja asing kini mencecah 75 peratus dalam sektor perladangan.
Mengulas lanjut beliau berkata, bagi menampung kekurangan berkenaan, MPOB telah melakukan beberapa inisiatif termasuk penggunaan mekanisasi di ladang sawit dan setakat ini lebih 35 buah jentera telah dibangunkan.
“Langkah kehadapan bagi mengatasi masalah industri perladangan ini adalah dengan mempertingkatkan penggunaan mekanisasi dalam operasi ladang seperti penuaian dan pengangkutan buah tandan segar (BTS).
“Setakat ini lebih 35 buah jentera ladang dibangunkan dan banyak telah dikomersialkan, kita cadangkan agar mekanisasi ini digunakan oleh peladang untuk menyelenggara dan lebihan tenaga kerja yang terhad itu dimanfaatkan bagi kerja menuai,” katanya.
Ujarnya, bagi menggalakkan pekebun kecil beralih kepada mekanisasi, kerajaan juga akan memperkasakan koperasi di seluruh negara termasuk menawarkan pembelian mesin pada harga yang berpatutan. – KOSMO! ONLINE