PUTRAJAYA – Hukum menyambut hari Halloween bagi umat Islam adalah haram kerana ia bertentangan dengan nilai-nilai syariah.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dalam satu kenyataan berkata, hari Halloween adalah sebahagian perayaan penganut Kristian serta ritual bagi memperingati roh-roh yang telah meninggal dunia.
Katanya, Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah mengharamkan sambutan Halloween dan ia juga selaras larangan daripada Rasulullah S.A.W kerana menyerupai amalan orang kafir.
“Pesta Halloween adalah haram kerana asal sambutan ini adalah bersifat penyembahan dan juga dirayakan oleh kaum bukan Islam,” katanya.
Pesta Halloween adalah perayaan yang disambut pada 30 Oktober setiap tahun bagi memperingati orang yang telah mati.
Halloween juga disebut dengan Hallowe’en dan perayaan ini juga disebut sebagai All Hallow Eve atau All Saints’ Eve.
Perayaan tersebut selalunya disambut pada waktu malam selain dilakukan dengan berpakaian aneh dan berjalan dari pintu ke pintu rumah dan meminta gula-gula atau coklat dengan berkata “Trick or treat!”.
Ucapan “Trick or treat!” merupakan semacam “ugutan” yang membawa maksud “Beri kami (gula-gula) atau kami buat kacau.”.-KOSMO! ONLINE