IPOH – Insiden dua lelaki maut akibat dihempap kren gantri dalam kejadian di Kawasan Perusahaan Kampung Acheh, Sitiawan semalam tiada kaitan dengan unsur jenayah.
Dalam kejadian itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Abdul Rajim Hamski, 33, dan Maiyden Asibin, 29.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kejadian pada pukul 4.45 petang itu berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang melakukan kerja-kerja pemotongan kren di tempat pelupusan jentera tersebut.
Katanya, seorang saksi mendakwa, bahagian atas hujung kren telah terbalik dan jatuh menghempap kedua-dua mangsa.
“Kedua-dua mangsa berusia 29 dan 33 tahun yang berasal dari Sabah cedera parah dan maut di tempat kejadian.
“Ketika kejadian, terdapat empat pekerja termasuk kedua-dua mangsa. Seorang rakan sekerja mereka berusia 34 tahun juga dari Sabah patah kaki kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Seri Manjung manakala seorang lagi berusia 34 tahun terselamat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Tugas Ketua Polis Daerah Kerian yang baharu, Superintendan Juna Yusoff di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.
Juna yang juga bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput itu menerima tugas tersebut daripada pemangku iaitu Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintenden Hudri Mohd. Arshad.
Mengulas lanjut Mohd. Yusri berkata, mayat kedua-dua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh bomba pada pukul 10.30 malam dan dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.
“Setakat ini, siasatan mendapati tidak terdapat sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – KOSMO! ONLINE