PERNAHKAH anda terfikir sekiranya perkahwinan yang dirancang tidak kesampaian disebabkan penarikan diri pengantin lelaki secara tiba-tiba?
Konflik sedemikian menjadi subjek dalam drama terbaharu terbitan Viu Malaysia, Ijab Kabut.
Lari daripada naratif klise, drama Ijab Kabut terbitan Viu Malaysia bakal menambat hati pencinta naskhah bergenre romantik komedi.
Menurut pengarah kanannya, Imillya Irwani Roslan, drama tersebut sangat dekat dengan jiwa masyarakat negara ini iaitu berkaitan perancangan perkahwinan.
Katanya, konflik drama ini mula tercetus apabila bakal pengantin menarik diri daripada perkahwinan.
“Kami cuba bawa nafas baharu kepada peminat.
“Ceritanya tentang persiapan perkahwinan dan wanita yang mencari calon suami dalam fasa terdesak, sekali gus memberi idea ‘penyelesaian’ kepada mereka di luar sana sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku,” katanya.
Bercerita tentang pemilihan tiga bintang utama, Azira Shafinaz sebagai Deanna, Iedil Dzuhrie Alaudin (Mat) dan Fadhlan Hazim (Khai), Imillya berpendapat mereka merupakan pilihan terbaik untuk semua watak tersebut.
“Untuk memilih pelakon, saringan dilakukan oleh pihak kami dan Viu. Hasilnya, Azira, Iedil dan Fadhlan berjaya menjadi teraju untuk drama ini.
“Saya memang puas hati dengan hasil kerja mereka. Huru-hara drama ini berjaya diwujudkan,” ujarnya.
Ditebak tentang pemilihan judul drama, pengarahnya, Faliq Sharif memberitahu perkataan ‘kabut’ yang menggantikan ‘kabul’ sangat bertepatan dengan jalan cerita.
Menurutnya, perkataan yang digunakan dalam tajuk itu sangat sesuai dengan jalan cerita. Baginya, tajuk itu tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
“Judul yang digunakan sangat sesuai dan tidak mencemarkan kesucian pernikahan. Ijab Kabut merupakan gabungan perkataan ijab kabul dan kelam kabut.
“Isu tentang tajuk itu tidak perlu diambil serius kerana drama ini merupakan satu cerita yang bergenre romantik dan komedi.
“Saya rasa perlu tonton dulu drama dan barulah penonton akan faham mengapa diberikan tajuk sebegitu. Jalan ceritanya sangat ringan dan tidak serius pun,” ujarnya lagi.
Drama 10 episod yang ditayangkan bermula 13 Oktober lalu tersebut ditayangkan menerusi slot Viu Original setiap Khamis.
Ijab Kabut mengisahkan Deana yang melalui mimpi ngeri apabila tunangnya secara tiba-tiba memutuskan hubungan.
Tidak mahu majlis perkahwinan dibatalkan, dia berusaha mencari calon suami dalam situasi kelam-kabut.
Pelbagai momen lucu dan romantik tercetus lebih-lebih lagi ketika dia bertemu dengan dua calon sukarela iaitu Khai dan Mat.