BERITA kematian aktres Vaishali Takkar masih hangat diperkatakan, tambah lagi muncul pula pelbagai teori, termasuk dakwaan mendiang diganggu seorang jiran yang hingga kini gagal dikesan.
Menambah misteri, rakan gandingannya dalam naskhah Rakshabandhan, Nishant Singh Malkani membuat satu kenyataan mengejutkan.
Kata Nishant, Vaishali pernah diugut bekas kekasih, Rahul Navlani untuk membocorkan foto intim mereka dalam media sosial.
Selepas ugutan tersebut, Vaishali mengalami depresi hingga terpaksa bertemu pakar psikiatri.
“Rahul tidak membenarkan dia berpindah. Vaishali mengalami tekanan perasaan, tetapi sudah mendapatkan bantuan pakar.
“Itu adalah hubungan toksik, Vaishali sering menangis di lokasi penggambaran akibat tertekan, stres dan trauma,” kata Nishant dalam satu wawancara.
Terdahulu, Vaishali ditemui menggantung diri pada 16 Oktober dengan meninggalkan catatan menuduh Rahul dan isterinya, Disha mengganggunya secara mental.
Vaishali, 29, memulakan kerjaya lakonan menerusi drama bersiri Yeh Rishta Kya Kehlata Hai (2015).